Sektor Pembinaan Sasaran Utama Ancaman ICS Di Asia Tenggara - Kaspersky

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Industri pembinaan di rantau Asia Tenggara dijangka mengalami pertumbuhan kukuh dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 6.2 peratus daripada 2024 hingga 2028, menurut Kaspersky.

Dalam kenyataan hari ini, katanya industri berkenaan semakin banyak menggunakan teknologi seperti kecerdasan buatan dan automasi untuk merangsang produktiviti dan kecekapan operasi walaupun perubahan digital ini turut membawa risiko siber yang semakin meningkat.

Menurutnya data terkini Kaspersky bagi suku pertama 2025 menunjukkan peningkatan peratusan komputer sistem kawalan industri (ICS) di rantau Asia Tenggara yang telah menyekat objek hasad terutamanya dalam sektor pembinaan dan pembuatan.

Sektor pembinaan di rantau ini mencatatkan kadar 32.9 peratus, iaitu 1.5 kali lebih tinggi berbanding purata global manakala sektor pembuatan merekodkan 23.6 peratus atau 1.3 kali lebih tinggi daripada purata global, katanya.

Secara keseluruhan, Asia Tenggara berada pada kedudukan kedua tertinggi dunia dari segi peratusan komputer ICS yang menyekat objek hasad iaitu pada kadar 29.1 peratus.

Menurut Pengarah Urusan Kaspersky bagi Asia Pasifik Adrian Hia, apabila syarikat pembinaan mengguna pakai teknologi digital, syarikat ini perlu mencapai keseimbangan antara risiko dan peluang.

Beliau berkata perniagaan mesti menangani ancaman secara menyeluruh dan pada masa sama memanfaatkan teknologi ini untuk memperkukuh perlindungan dan daya tahan.

“Pada 2025 dan seterusnya, peranti industri digital mungkin menjadi sasaran serangan siber akibat langkah keselamatan yang luar masa kini. Kemudahan jarak jauh yang bergantung kepada peralatan rangkaian murah amat terdedah kepada eksploitasi.

“Oleh itu, menyemak semula langkah keselamatan siber bagi teknologi legasi dan telah lama digunakan adalah lebih penting berbanding sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata keselamatan siber tidak sepatutnya dianggap sebagai memerlukan kos, sebaliknya merupakan pelaburan bagi kesinambungan perniagaan, insurans yang melindungi aset dan data di samping mengekalkan kepercayaan yang telah dibina dengan pelanggan dan rakan kongsi.

Bagi melindungi operasi industri, Kaspersky mengesyorkan supaya perniagaan menjalankan penilaian keselamatan berkala terhadap sistem teknologi operasi, mengenal pasti serta menyelesaikan isu keselamatan siber, dan melaksanakan penilaian serta pengurusan kerentanan secara berterusan sebagai asas kepada proses pengurusan kerentanan yang berkesan.

Kaspersky berkata sektor pembinaan di Malaysia bersedia untuk merekodkan pertumbuhan yang ketara, dengan pasaran dianggarkan bernilai US$41.85 bilion pada 2025 dan dijangka meningkat kepada US$63.07 bilion menjelang 2030, dengan CAGR sebanyak 8.55 peratus.

-- BERNAMA