Bilangan Penganggur Menurun 0.7 Peratus Pada Mei 2025 - DOSM
PUTRAJAYA, 10 Julai (Bernama) -- Bilangan penganggur terus menurun sebanyak 0.7 peratus pada Mei 2025 kepada 522,400 orang berbanding 525,900 pada April, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Statistik Tenaga Buruh Mei 2025 yang dikeluarkan DOSM hari ini menunjukkan kadar pengangguran pada bulan ini kekal 3.0 peratus seperti pada April.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bilangan penduduk bekerja terus bertambah pada Mei 2025, naik sebanyak 0.3 peratus kepada 16.86 juta orang berbanding 16.82 juta yang direkodkan pada April 2025.
“Penurunan pengangguran yang berterusan diiringi pertambahan dalam guna tenaga mencerminkan prestasi ekonomi Malaysia yang positif dan memberangsangkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Melihat kepada prestasi guna tenaga mengikut sektor ekonomi, beliau berkata bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan menunjukkan trend peningkatan konsisten, terutamanya aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan & minuman; perdagangan borong dan runcit; dan pengangkutan & penyimpanan.
“Pada masa yang sama, sektor pembuatan, pembinaan, pertanian, dan perlombongan & pengkuarian turut merekodkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja pada bulan berkenaan,” katanya.
Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun turun kepada 10.2 peratus pada Mei 2025, dengan 297.700 penganggur belia (April: 298.300).
Bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun, kadar pengangguran kekal pada 6.2 peratus, mencatatkan 399.000 orang (April: 400.600)
Mohd Uzir berkata pasaran buruh negara dijangka terus berkembang dan kekal berdaya tahan pada bulan-bulan yang akan datang, disokong oleh dasar kerajaan, kestabilan makroekonomi serta pelaburan dalam modal insan.
“Walaupun berdepan cabaran global yang berterusan, asas domestik yang kukuh dan pelaburan dalam modal insan membantu mengekalkan kestabilan dan prestasi pasaran buruh yang kukuh.,” katanya.
-- BERNAMA