MPC Kurangkan OPR Sebagai Langkah Awalan Kekalkan Haluan Pertumbuhan Stabil - Gabenor BNM
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Berikut adalah transkrip wawancara Bernama menerusi e-mel dengan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Soalan 1. Gabenor, bolehkah Gabenor berikan pencerahan tentang keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) hari ini?
Keputusan MPC sentiasa berpandukan mandat kami untuk mengekalkan kestabilan harga yang kondusif untuk pertumbuhan yang mampan, berdasarkan prospek pertumbuhan Malaysia dan inflasi.
Ekonomi Malaysia berada pada kedudukan yang kukuh berikutan asas-asas ekonomi Malaysia yang mantap. Pada mesyuarat hari ini, MPC peka dengan ketidakpastian berhubung dengan perkembangan perdagangan dan geopolitik, yang berisiko mempengaruhi prospek ekonomi Malaysia.
Pada masa yang sama, inflasi dijangka terus sederhana berikutan keadaan kos yang terkawal dan ketiadaan tekanan permintaan dalam negeri yang berlebihan.
Sehubungan dengan itu, pengurangan OPR sebanyak 25 mata asas merupakan tindakan awalan yang bertujuan untuk memelihara dan memastikan landasan pertumbuhan terus stabil.
Soalan 2. Adakah pengurangan OPR disebabkan oleh pengumuman tarif Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini? Bagaimanakah prestasi ekonomi pada masa ini dan hala tujunya pada masa hadapan?
Tidak, perundingan dengan AS masih lagi berlangsung. Malah, ekonomi Malaysia berada pada kedudukan yang kukuh dan pengurangan OPR adalah untuk memelihara dan memastikan landasan pertumbuhan negara adalah stabil. Data terkini menunjukkan bahawa ekonomi negara terus berkembang pada suku kedua, disokong oleh permintaan dalam negeri dan pertumbuhan eksport yang berterusan.
Pada masa hadapan, kami menjangkakan permintaan domestik akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan. Pertumbuhan pekerjaan dan gaji, terutamanya dalam sektor yang berorientasikan dalam negeri, bersama-sama dengan langkah dasar berkaitan pendapatan akan menyokong perbelanjaan isi rumah. Langkah-langkah berkaitan pendapatan ini termasuk kenaikan gaji untuk penjawat awam dan gaji minimum yang lebih tinggi.
Selain itu, kos pinjaman dan pembayaran balik pinjaman yang lebih rendah berikutan pengurangan OPR juga akan membantu isi rumah dan perniagaan. Aktiviti pelaburan akan terus berkembang apabila projek jangka panjang dalam sektor swasta dan awam terus dilaksanakan. Lebih banyak pelaburan yang telah diluluskan sedang dilaksanakan, bersama-sama dengan pelaksanaan inisiatif utama di bawah pelan induk negara, akan turut memberikan sokongan.
Hasil perundingan perdagangan yang memberangsangkan dan dasar menyokong pertumbuhan di negara-negara maju serta permintaan yang berterusan terhadap barangan elektrik dan elektronik (E&E) negara dan juga perbelanjaan pelancong yang mantap boleh meningkatkan eksport Malaysia. Kemajuan yang berterusan dalam perundingan perdagangan dengan AS akan menyokong eksport negara selanjutnya. Bagaimanapun, imbangan risiko kepada prospek pertumbuhan Malaysia terus cenderung untuk menjadi perlahan, berpunca terutamanya daripada perdagangan ekonomi yang semakin lembap, sentimen yang lebih lemah serta pengeluaran komoditi yang lebihi rendah daripada jangkaan.
Bagi mencerminkan penilaian terkini yang saya kongsikan di atas, kami bercadang untuk mengumumkan semakan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tahun 2025 pada minggu keempat bulan Julai. Saya ingin tekankan di sini bahawa kami tidak menjangkakan semakan yang besar. Angka yang dikemas kini ini akan mengambil kira penunjuk ekonomi dan perkembangan terkini berhubung dengan perundingan perdagangan.
Soalan 3. Apakah pandangan MPC mengenai inflasi, dengan mengambil kira peluasan terkini Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), turun naik harga minyak global dan tarif elektrik yang akan dilaksanakan?
Inflasi keseluruhan dan inflasi teras berpurata pada 1.4 peratus dan 1.9 peratus pada lima bulan pertama tahun ini. Secara keseluruhan, inflasi dijangka terus sederhana pada tahun 2025 berikutan keadaan kos global yang terkawal dan ketiadaan tekanan permintaan dalam negeri yang berlebihan.Tekanan inflasi daripada harga komoditi global dijangka kekal terhad, menyumbang kepada keadaan kos dalam negeri yang sederhana.
Dalam persekitaran ini, kesan keseluruhan pembaharuan dasar dalam negeri yang telah dan akan diumumkan terhadap inflasi dijangka terkawal. Unjuran inflasi yang dikemas kini untuk tahun 2025 akan diumumkan bersama-sama dengan unjuran pertumbuhan KDNK.
Soalan 4. Berikutan keputusan hari ini, bolehkah kita menjangkakan satu lagi pengurangan OPR pada tahun ini?
Saya sedar soalan ini menjadi perhatian ramai pada masa ini. Saya ingin nyatakan bahawa keputusan dasar monetari Malaysia terus berpandukan pada penilaian MPC mengenai prospek pertumbuhan dan inflasi Malaysia.
MPC berpandangan bahawa keputusan hari ini merupakan pengurangan awalan untuk mengekalkan kestabilan ekonomi apabila berhadapan dengan ketidaktentuan global. MPC tidak menetapkan sebarang hala tuju terlebih dahulu. Keputusan dasar pada masa hadapan akan terus berpandukan oleh prospek pertumbuhan dalam negeri dan inflasi yang berubah-ubah.
Soalan 5. Dengan ketidakpastian global yang semakin meningkat dan risiko pertumbuhan dalam negeri menjadi perlahan, apakah sumber kekuatan ekonomi yang boleh diharapkan oleh rakyat Malaysia ketika ini?
Soalan ini sangat tepat pada masanya dan juga penting, terima kasih kerana mengemukakannya. Dalam keadaan ketidakpastian global yang berterusan, tumpuan kami untuk melaksanakan pembaharuan struktur terus menjadi sumber kekuatan yang penting. Pembaharuan ini sangat penting untuk memperkasakan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Sememangnya, asas ekonomi yang kukuh pada hari ini merupakan hasil usaha gigih kita bertahun-tahun sebelum ini.
Pelarasan SST baru-baru ini serta rasionalisasi subsidi bahan api RON95 yang akan dilaksanakan merupakan sebahagian daripada agenda pembaharuan yang lebih luas untuk membina semula ruang fiskal dan meningkatkan kecekapan perbelanjaan awam. Hal ini penting supaya Kerajaan dapat terus menyokong ekonomi negara secara berkesan apabila diperlukan.
Sama seperti mana-mana pembaharuan, beberapa penyesuaian jangka pendek perlu dilakukan. Pelaksanaan penyesuaian secara bersasar berserta langkah sokongan, termasuk pengecualian yang diperluas, akan membantu memudahkan peralihan dan mengehadkan kesannya terhadap inflasi.
Satu lagi sumber kekuatan kita terletak pada pelaksanaan strategi negara yang berterusan seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, yang menyokong pelaburan berkualiti dan pertumbuhan produktiviti.
Walaupun dijangka terdapat sedikit penurunan, terutamanya dalam kalangan syarikat berorientasikan eksport, aktiviti pelaburan Malaysia kekal berterusan, terutamanya dalam sektor berorientasikan dalam negeri seperti infrastruktur, bahan berkaitan pembinaan dan ekonomi hijau. Sememangnya, asas-asas ekonomi Malaysia yang kukuh, ekosistem perniagaan yang mantap dan dasar kerajaan yang memudahkan terus memastikan Malaysia menjadi destinasi pelaburan pilihan pelabur global.
-- BERNAMA