PNSB, Tiga Rakan Strategik Bangunkan Taman Edu-Tek, Hab Sekuriti Makanan Di Pulau Carey
SHAH ALAM, 8 Julai (Bernama) -- Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) hari ini memeterai memoranda persefahaman (MOU) dengan tiga rakan strategik bagi pembangunan Taman Edu-Tek dan Hab Sekuriti Makanan di Pulau Carey, Kuala Langat.
Tiga rakan strategik tersebut ialah SD Guthrie Bhd, IJM Corporation Bhd dan Yayasan Selangor.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata perjanjian pembangunan bagi kedua-dua fasiliti tersebut bakal menyokong pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, sekali gus memacu perkembangan ekonomi di selatan Selangor.
"Saya percaya pemeteraian MOU ini akan menjadikan pelabuhan ketiga itu nanti sebagai kawasan yang berdaya saing dengan jumlah kendalian kontena (TEU) yang tinggi, malah mampu melengkapkan keseluruhan industri pelabuhan di Selangor," katanya ketika berucap pada majlis pertukaran MOU tersebut.
Sementara itu, dalam satu kenyataan bersama menyatakan Taman Edu-Tek itu akan menampilkan teknologi kecerdasan buatan (Al), infrastruktur pintar dan tenaga hijau, manakala Yayasan Selangor bakal membangunkan kampus bertaraf antarabangsa bagi memperkasa akses pendidikan dan membina modal insan.
MOU antara PNSB dan SD Guthrie Bhd pula bermatlamat untuk meneroka cadangan pembangunan tanah seluas kira-kira 192.2 hektar (470 ekar) milik SD Guthrie di Pulau Carey.
"IJM Corporation Bhd pula berperanan sebagai pemaju serta rakan pelaksana pembangunan dan infrastruktur bagi cadangan pembangunan kedua-dua fasiliti tersebut.
"Firma itu akan bekerjasama dengan PNSB selaku peneraju utama projek serta SD Guthrie sebagai pemilik tanah dan rakan ekuiti, untuk menyokong perancangan dan pelaksanaan komponen pembangunan utama," kata kenyataan itu.
-- BERNAMA