Ringgit Susut Berbanding Dolar AS Berikutan Pelarasan Tarif AS

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)  apabila sentimen pasaran melemah berikutan pelarasan dasar tarif timbal balik terbaharu oleh AS, menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) esok.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu susut kepada 4.2365/2445 berbanding dolar AS daripada paras 4.2310/2400 ketika ditutup Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit susut ke paras RM4.2470 berbanding dolar AS pada sesi pagi berikutan kebimbangan terhadap kesan tarif import 25 peratus oleh AS yang menyebabkan para peniaga dan pelabur terus kekal berhati-hati.

Bagaimanapun, pada sebelah petang ringgit bertambah baik kepada RM4.2358.

“Secara amnya, masih terdapat ruang untuk perbincangan dan rundingan, dan kerajaan Malaysia terus memilih penyelesaian diplomatik seperti yang dinyatakan dalam kenyataan media Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),” katanya kepada Bernama.

AS telah mengenakan tarif lebih tinggi sebanyak 25 peratus ke atas semua produk Malaysia yang dihantar ke negara itu, berasingan daripada semua tarif sektoral, berkuat kuasa 1 Ogos tahun ini.

Angka itu merupakan satu peratus lebih tinggi berbanding dengan tarif yang telah diumumkan pada April.

MITI pula dalam satu kenyataan berkata Malaysia komited untuk terus berunding dengan AS ke arah perjanjian perdagangan yang seimbang, saling menguntungkan dan komprehensif.

“Esok, tumpuan utama adalah pada mesyuarat MPC BNM di mana ahli-ahli ekonomi agak berbelah bahagi sama ada bank pusat akan membuat potongan 25 mata asas ke atas Kadar Dasar Semalaman (OPR).

“Pada pandangan kami, kami menjangkakan BNM cenderung untuk mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas bagi memberi sokongan kepada permintaan domestik. Oleh itu, dolar-ringgit dijangka kekal dalam julat yang sempit kerana peniaga dan pelabur kekal berhati-hati,” kata Mohd Afzanizam.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran dolar AS-ringgit menjelang akhir tahun pada paras 4.08, disokong oleh asas-asas domestik yang kukuh.

Keyakinan yang semakin terhakis ke atas pengurusan fiskal AS mendorong aliran modal ke Kesatuan Eropah (EU) dan pasaran baru muncul yang berorientasikan pembaharuan.

“Malaysia, dengan kestabilan makro dan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang mantap, berpotensi meraih manfaat daripada keseimbangan semula ini.

“Sekiranya Rizab Persekutuan AS (Fed) membuat perubahan kepada pemotongan kadar faedah, ia boleh meningkatkan lagi ringgit,” kata Kenanga dalam nota penyelidikannya hari ini.

Mengenai kemungkinan tarif AS yang menyasarkan ekonomi yang selari dengan BRICS, bank pelaburan itu berkata sebarang peningkatan boleh mempercepatkan usaha membangunkan sistem kewangan alternatif.

“Sama ada BRICS dapat mengubahnya menjadi satu barisan geopolitik yang lebih padu masih belum pasti, tetapi tindak balas mereka mungkin membantu membentuk semula masa depan struktur ekonomi dan kewangan global,” tambahnya.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali yen Jepun.

Mata wang tempatan itu mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8970/9026 daripada 2.9091/9155 ketika ditutup Isnin.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.7591/7700 daripada 5.7563/7685 semalam dan menurun berbanding euro kepada 4.9745/9839 daripada 4.9647/9752 sebelumnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang di negara-negara ASEAN yang lain.

Ia menyusut berbanding baht Thailand kepada 13.0182/0488 daripada 12.9837/13.0173 pada penutup semalam dan melemah berbanding dolar Singapura kepada 3.3152/3217 daripada 3.3096/3172 semalam.

Ringgit susut berbanding rupiah Indonesia kepada 261.4/262.0 daripada 260.5/261.2 sebelum ini dan jatuh sedikit berbanding peso Filipina kepada 7.51/7.53 daripada 7.46/7.48 pada penutup Isnin.

-- BERNAMA