BERITA TERKINI   Hak-hak negeri perlu dihormati, namun kepentingan Malaysia secara bersama hendaklah sentiasa diutamakan - Agong | Agong ingatkan setiap perbahasan, keputusan dan undian di Parlimen bakal menentukan masa depan negara | Sistem pendidikan baharu mesti selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, Bahasa Melayu diutamakan - Agong | Undang-undang berkaitan keselamatan negara dan ancaman luar wajar diwujudkan segera, pastikan keharmonian semua kaum dan kedaulatan negara - Agong | Bukan hanya penerima rasuah tetapi pemberi dan ejen yang bersubahat turut perlu diambil tindakan - Agong | 

Pelaburan Digital Malaysia Melonjak 125 Peratus Kepada RM29.49 Bilion Pada Suku Kedua 2025

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Pelaburan digital di bawah inisiatif strategik negara, Digital Malaysia, melonjak 125 peratus kepada RM29.49 bilion pada suku kedua 2025 daripada RM13.11 bilion pada suku pertama 2025 dipacu oleh sentimen pasaran yang positif.

Dalam kenyataan pada Isnin, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menjelaskan ekonomi digital Malaysia terus melakar pertumbuhan kukuh, didorong oleh keyakinan pelabur yang berterusan serta ekosistem inovasi yang rancak, bakat dan infrastruktur.

“Setakat Jun 2025, sebanyak 261 syarikat yang diluluskan di bawah inisiatif Digital Malaysia secara kolektif komited dengan pelaburan bernilai RM42.58 bilion, dan berpotensi menjana 17,495 pekerjaan berpengetahuan dalam tempoh lima tahun akan datang,” menurutnya.

MDEC juga memaklumkan tiga sumber utama pelaburan digital yang diluluskan setakat Jun 2025 adalah pelabur berpangkalan di Singapura yang melabur RM13.91 bilion, merangkumi 33 peratus daripada jumlah pelaburan, diikuti pelabur dari Amerika Syarikat (RM6.44 bilion) dan China (RM2.97 bilion).

Sektor pusat data (DC) dan awan mendahului dalam landskap pelaburan, yang menyumbang RM30.95 bilion dan dijangka menjana 1,440 pekerja berpengetahuan susulan permintaan tinggi terhadap infrastruktur data serantau, tambahnya.

Menurut MDEC, bagi syarikat pusat data sahaja, mereka komited sebanyak RM13.45 bilion, menunjukkan keyakinan pelabur terhadap infrastruktur digital Malaysia dan kesalinghubungan serantau.

Sementara itu, Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata momentum kenaikan yang kukuh itu sebagai pertumbuhan luar biasa yang menggambarkan kesediaan digital negara, kelebihan ekosistem inovasi Malaysia, dan keyakinan pelabur global terhadap masa depan negara.

Beliau berkata selain angka-angka itu, pelaburan tersebut turut mewakili ribuan peluang untuk tenaga kerja Malaysia serta peningkatan jangka masa panjang ekonomi digital negara.

-- BERNAMA