BERITA TERKINI   Anak bekas MB Perlis dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan kemuka tuntutan palsu lebih RM19,000 | Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu bebaskan isteri bekas pengarah Jabatan Air Sabah, bekas timbalan pengarah daripada tuduhan pengubahan wang haram | TLDM cari alternatif sistem peluru berpandu NSM Norway bagi lengkapkan persenjataan kapal pertahanan negara - Menteri Pertahanan | Pengubahan wang haram lebih RM45 juta: Bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah Ag Mohd Tahir didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu | MINDEF tuntut RM1 bilion daripada syarikat Norway susulan pembatalan lesen eksport sistem peluru berpandu - Mohamed Khaled | 

Anwar Mengadakan Pertemuan Dengan Modi Di Sidang Kemuncak BRICS Di Rio De Janeiro

RIO DE JANEIRO, 6 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi mengadakan pertemuan di Rio de Janeiro pada Ahad (pagi Isnin di Malaysia).

Kedua-dua pemimpin berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS.

Kali terakhir pertemuan mereka adalah semasa Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-21 di Laos tahun lepas.

Anwar diiringi  Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada mesyuarat itu. Turut hadir Menteri Hal Ehwal Luar India S. Jaishankar.

Malaysia merupakan rakan perdagangan ketiga terbesar India di ASEAN, dengan jumlah perdagangan bernilai RM85.26 bilion (USD20.02 bilion) pada 2023-2024, menyumbang kira-kira 17 peratus daripada jumlah perdagangan India dengan ASEAN.

Anwar tiba pada Sabtu untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 yang dihoskan oleh Brazil atas jemputan Presidennya Luiz Inácio Lula da Silva.

Malaysia secara rasmi menjadi Negara Rakan BRICS pada 1 Jan tahun ini.

-- BERNAMA