BERITA TERKINI   Pemandu kenderaan perdagangan yang terlibat kemalangan akan digantung lesen PSV atau GDL sehingga selesai siasatan - KP JPJ | 

Konsolidasi Fiskal Mula Tunjuk Hasil Untuk Malaysia, Dolar AS Dijangka Lemah

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Usaha konsolidasi fiskal Malaysia mula menunjukkan hasil dengan langkah-langkah mengecilkan defisit fiskal selain mengurangkan hutang kerajaan mendapat momentumnya walaupun berdepan kritikan.

Ini menandakan prospek positif bagi penarafan kredit berdaulat negara.

“Rizab asing kita meningkat kepada US$119.9 bilion daripada US$115.5 bilion dalam separuh pertama 2025 manakala pemilikan asing terhadap Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) naik kepada 35.6 peratus pada Mei daripada 32 peratus pada Januari.

“Ini mencerminkan pandangan positif terhadap kebolehpercayaan kredit kerajaan Malaysia,” kata Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, walaupun kedudukan fiskal negara bertambah baik dengan defisit fiskal mengecil kepada 4.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 5.7 peratus sebelum ini, bagi rakyat, konsolidasi fiskal bermakna peruntukan yang lebih besar untuk program bantuan kerajaan.

Menurutnya, bantuan ini termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Setakat separuh pertama 2025, defisit fiskal Malaysia bertambah baik kepada RM34 bilion daripada RM46 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Dana kerajaan bertambah baik seiring dengan kemajuan konsolidasi fiskal. Kerajaan memperuntukkan RM13 bilion untuk program STR dan SARA pada 2025 iaitu jumlah tertinggi pernah diagihkan untuk bantuan tunai di Malaysia berbanding RM10 bilion tahun lepas,” katanya.

Beliau turut berkata bilangan penerima bantuan tunai meningkat kepada 5.4 juta orang daripada 700,000 penerima sebelum ini sekali gus menunjukkan bantuan kini disasarkan dengan lebih tepat dan bukannya diagihkan secara menyeluruh melalui subsidi umum.

Mohd Afzanizam menegaskan ini berpotensi membawa kepada penilaian kredit yang lebih baik dengan penarafan kredit berdaulat Malaysia kini berada pada A3 (Moody’s), A- (S&P Global Ratings) dan BBB+ (Fitch Ratings).

“Penyelarasan subsidi dan konsolidasi fiskal yang berterusan akhirnya akan menghasilkan hasil positif dan memperbaiki kedudukan kewangan kerajaan,” katanya.

Beralih kepada faktor luaran, Mohd Afzanizam berkata persekitaran global juga memberi kesan kepada prospek ekonomi Malaysia terutamanya perkembangan di Amerika Syarikat (AS).

Beliau menjelaskan AS tidak lagi mempunyai penarafan triple-A secara menyeluruh dengan penarafan kredit berdaulat semasa pada Aa1 (Moody’s), AA+ (S&P Global Ratings) dan AA+ (Fitch Ratings).

“Ini menandakan keupayaan kerajaan AS untuk menguruskan hutangnya tidak lagi kukuh seperti dahulu.

“Ketiga-tiga agensi penarafan utama kini menilai hutang AS sekitar AA+ atau Aa1 yang mencerminkan kebimbangan meningkat terhadap defisit fiskal, tahap hutang yang semakin tinggi dan kebuntuan politik,” katanya.

Mohd Afzanizam turut menghuraikan mengenai pengurangan pengukuhan kredit yang menurunkan daya tarikan aset AS selain mempercepatkan aliran pengurangan penggunaan mata wang dolar di peringkat global.

“Ketegangan geopolitik juga menyumbang kepada perubahan ini apabila lebih banyak negara berusaha untuk mempelbagaikan kerjasama perdagangan mereka dan mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS,” katanya.

Beliau memberi amaran iaitu cadangan dasar terkini AS berpotensi memberi tekanan ke bawah ke atas dolar AS dengan merujuk kepada cadangan Senat AS yang melibatkan penurunan cukai berjumlah US$4.5 trilion yang akan dibiayai melalui pengurangan perbelanjaan sosial termasuk penjagaan kesihatan, program bantuan dan subsidi tenaga bersih.

“Penurunan cukai ini kebanyakannya memberi manfaat kepada golongan berpendapatan tinggi yang secara amnya mempunyai kecenderungan marginal untuk berbelanja yang lebih rendah.

"Mereka cenderung berbelanja lebih untuk barangan mewah berbanding barangan harian, jadi, kesan rangsangan terhadap pertumbuhan KDNK mungkin terhad,” jelasnya.

Beliau turut memberi amaran iaitu jika digabungkan dengan langkah tarif baharu AS, dasar tersebut boleh meningkatkan kos perniagaan dan harga pengguna yang berpotensi memberi tekanan kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

“Saya percaya dolar AS berada pada trajektori jangka panjang yang lebih lemah disebabkan oleh beberapa faktor struktur,” katanya.

Pada Jumaat, ringgit ditutup pada paras 4.2180/2260 berbanding dolar AS dengan peningkatan sebanyak 5.8 peratus sejak awal tahun ini.

-- BERNAMA