BERITA TERKINI   PM Anwar sifatkan krisis di Gaza sebagai bukan hanya tragedi malah keruntuhan hati nurani | Tiba masanya untuk Asia Tenggara dan Eropah mentafsirkan semula terma kerjasama - PM Anwar |  Untuk membina perkongsian yang bermakna, penglibatan ekonomi Asia Tenggara dan Eropah perlu bersandarkan kepada saling menghormati dan fleksibiliti - PM Anwar | Kerajaan tolak ideologi ekstrem, amalkan prinsip wasatiyyah – Mohd Na’im | JAKIM akan bekerjasama dengan KDN bendung ideologi ekstremisme, pantau pekerja asing terpengaruh - Mohd Na’im | 

Bursa Malaysia Ditutup Lebih Tinggi

Oleh Zarul Effendi Razali and Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi hari ini disokong oleh pembelian berterusan dalam kaunter berwajaran tinggi terpilih, menurut seorang penganalisis.

Pembelian berterusan dalam  kaunter berwajaran tinggi terpilih berkenaan diterajui perkhidmatan kewangan serta kaunter produk dan perkhidmatan perindustrian di sebalik prestasi pasaran serantau yang bercampur-campur.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 1.20 mata atau 0.08 peratus kepada 1,550.19 daripada 1,548.99 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 1.75 mata lebih tinggi pada paras 1,550.74 dan berlegar antara 1,547.70 hingga 1,551.78 sepanjang hari.

Secara keseluruhannya, pasaran berada dalam keadaan positif dengan 489 kaunter untung mengatasi 466 kaunter rugi manakala 509 kaunter tidak berubah, 923 tidak diniagakan dan 21 lagi digantung.

Jumlah dagangan menurun kepada 3.43 bilion unit bernilai RM2.47 bilion daripada 5.09 bilion unit bernilai RM2.9 bilion pada Khamis.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI ditutup lebih tinggi dengan pembelian tertumpu kepada kaunter pengguna, utiliti dan perbankan manakala aktiviti pengambilan untung berlaku ke atas saham berkaitan Petronas.

“Sentimen pasaran serantau kekal berhati-hati susulan rancangan Presiden Donald Trump untuk mengeluarkan kenyataan rasmi hari ini berhubung kadar tarif Amerika Syarikat (AS) yang disemak semula ke atas ekonomi global utama.

“Setakat ini, AS hanya memeterai perjanjian perdagangan dengan United Kingdom dan Vietnam serta rangka kerja terhad dengan China. Bagi bursa tempatan pula, sentimen kekal positif berikutan kemasukan semula dana asing,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun 6.0 sen kepada RM9.74, Public Bank naik 8.0 sen kepada RM4.38, Tenaga Nasional melonjak 4.0 sen kepada RM14.06, CIMB susut 2.0 sen kepada RM6.77 manakala IHH Healthcare merosot 10 sen kepada RM6.75.

Dalam kalangan saham paling aktif, Borneo Oil kekal pada separuh sen, Zetrix AI meningkat 2.0 sen kepada 99.5 sen, Nationgate naik 11 sen kepada RM1.78, NexG berkembang 1.0 sen kepada 40 sen manakala Tanco menyusut 1.0 sen kepada 89 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik sebanyak 0.02 mata kepada 11,617.72, Indeks FBMT 100 menurun sebanyak 1.22 mata kepada 11,390.70 manakala Indeks FBM Emas Syariah bertambah 20.20 mata kepada 11,617.82.

Indeks FBM 70 merosot sebanyak 45.49 mata kepada 16,787.04 manakala Indeks FBM ACE kehilangan 1.62 mata kepada 4,526.40.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat sebanyak 56.63 mata kepada 17,791.22, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.07 mata kepada 157.08 dan Indeks Perladangan bertambah 12.91 mata kepada 7,448.74 manakala Indeks Tenaga merosot 1.90 mata kepada 741.61.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menurun kepada 1.96 bilion unit bernilai RM2.25 bilion daripada 3.08 bilion unit bernilai RM2.66 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 1.20 bilion unit bernilai RM126.56 juta daripada 1.70 bilion unit bernilai RM191.47 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula meningkat kepada 274.38 juta unit bernilai RM90.83 juta daripada 314.46 juta unit bernilai RM91.46 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 216.97 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (721.31 juta), pembinaan (93.05 juta), teknologi (294.28 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (62.87 juta), hartanah (195.39 juta), perladangan (20.18 juta), REIT (23.49 juta), dana tertutup (8,500), tenaga (82.27 juta), penjagaan kesihatan (142.44 juta), telekomunikasi dan media (27.97 juta), pengangkutan dan logistik (33.40 juta), utiliti (42.81 juta) serta amanah perniagaan (26,800).

-- BERNAMA