BERITA TERKINI   Siling penggunaan BUDI95 bagi pemandu e-hailing sepenuh masa dinaikkan sekali ganda kepada 600 liter sebulan - MOF | BUDI95 kini turut diperluaskan kepada pengguna bot berdaftar di Sarawak - MOF | KPT setuju beri kemudahan PdP secara dalam talian atau hibrid kepada pelajar, tenaga pengajar beragama Hindu di seluruh IPTA bermula 16-24 Okt sempena Deepavali | Ringgit berpotensi mengukuh kepada RM4 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun - Gabenor BNM | Maqasid Syariah bermula dengan tadbir urus yang baik - PM Anwar | 

MATRADE Ketuai Delegasi Malaysia Ke Pameran Korea, Perkukuh Hubungan Perdagangan

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan mengetuai penyertaan Malaysia di Pameran Import Korea (KIF) 2025 yang akan berlangsung dari 7 hingga 9 Julai di Pusat Konvensyen COEX, Seoul, Korea Selatan.

Penyertaan Malaysia itu menandakan usaha strategik untuk melonjakkan perdagangan dengan Korea Selatan, memperluas peluang eksport serta memperkukuh kehadiran negara di pasaran tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata 12 syarikat Malaysia dan satu agensi kerajaan akan mengambil bahagian dalam KIF 2025 di bawah Pavilion Malaysia yang dianjurkan oleh MATRADE.

Pavilion Malaysia akan mempamerkan produk gaya hidup, teknologi maklumat dan komunikasi, perkhidmatan perniagaan profesional serta makanan dan minuman.

“Pavilion Malaysia akan menjadi pavilion negara yang terbesar dalam KIF tahun ini, mengatasi Indonesia, Thailand dan Vietnam, sekali gus menunjukkan komitmen kita untuk mengembangkan jejak perdagangan dan meningkatkan kebolehlihatan Malaysia di pasaran Korea,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

KIF 2025 dianjurkan oleh Persatuan Pengimport Korea (KOIMA) manakala penyertaan Malaysia adalah hasil Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara MATRADE dan KOIMA.

MoU itu ditandatangani pada 1 Dis, 2024 semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Korea Selatan, sekali gus mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh perdagangan dua hala.

Mohd Mustafa berkata menerusi penyertaan dalam KIF 2025, Malaysia menggerakkan MoU itu dan mencipta peluang sebenar untuk pengeksport Malaysia memanfaatkan pasaran Korea Selatan.

“Kita berpandangan ini adalah langkah strategik untuk memperkukuh hubungan dengan satu daripada rakan dagang utama Malaysia,” katanya.

Sepanjang acara itu, MATRADE akan melaksanakan pelbagai aktiviti promosi termasuk sesi padanan perniagaan yang disasarkan dengan pembeli Korea Selatan, pemasaran digital serta kempen di media sosial dan lain-lain.

-- BERNAMA