Prestasi Bursa Malaysia Bercampur-campur Pada Tengah Hari
KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan prestasi bercampur-campur berikutan aktiviti pengambilan untung yang sederhana dalam saham produk pengguna dan perkhidmatan terpilih menjejaskan kenaikan awal, kata penganalisis.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.0 mata kepada 1,550.99 daripada 1,548.99 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.75 mata lebih tinggi pada 1,550.74.
Pasaran secara keseluruhan sedikit negatif, dengan 414 kaunter rugi mengatasi 410 kaunter untung, 411 tidak berubah, 1,122 tidak diniagakan dan 21 digantung.
Jumlah dagangan mencecah 1.97 bilion unit bernilai RM1.11 bilion.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks penanda aras tempatan dijangka berlegar dalam julat 1,545 hingga 1,555 hari ini, disokong oleh prestasi positif Wall Street semalaman berikutan laporan pekerjaan yang lebih kukuh daripada jangkaan.
“Pekerjaan bukan perladangan meningkat sebanyak 147,000 berbanding unjuran 110,000, manakala kadar pengangguran turun kepada 4.1 peratus berbanding ramalan 4.3 peratus.
“Namun begitu, pasaran buruh yang lebih kukuh mungkin menyebabkan penangguhan dalam penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed), sekali gus mendorong hasil bon AS 10 tahun melonjak kepada 4.35 peratus,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare masing-masing turun 5.0 sen kepada RM9.75 dan RM6.80, manakala Public Bank naik 5.0 sen kepada RM4.35, Tenaga Nasional menambah 8.0 sen kepada RM14.10, dan CIMB kekal pada RM6.79.
Bagi saham paling aktif, Borneo Oil tidak berubah pada setengah sen, Zetrix AI meningkat 2.0 sen kepada 99.5 sen, NexG menambah setengah sen kepada 39.5 sen, NationGate naik 7.0 sen kepada RM1.74, manakala UCrest susut 1.0 sen kepada 8.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 6.93 mata kepada 11,624.63, Indeks FBMT 100 naik 5.17 mata kepada 11,397.09, manakala Indeks FBM Emas Syariah berkurang 4.41 mata kepada 11,633.61.
Indeks FBM 70 pula susut 33.88 mata kepada 16,798.65, manakala Indeks FBM ACE turun 22.07 mata kepada 4,505.95.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 43.88 mata kepada 17,778.47, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.58 mata kepada 156.59, dan Indeks Tenaga susut 0.45 mata kepada 743.06, manakala Indeks Perladangan turun 5.95 mata kepada 7,429.88.
-- BERNAMA