RHB Bank Perkenal RHB Smart Account/-i Versi Baharu Dengan Faedah Ganjaran Fleksibel
KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- RHB Bank Bhd memperkenalkan RHB Smart Account/-i yang diperbaharui, membolehkan pelanggan memilih sama ada menikmati kadar faedah lebih tinggi atau mata ganjaran kesetiaan, seiring dengan usahanya dalam meningkatkan fleksibiliti urusan perbankan harian.
Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu berkata pelanggan boleh memilih kadar bonus sehingga 6.85 peratus setahun atau menerima 20,000 mata ganjaran kesetiaan, bergantung kepada pilihan dan corak perbelanjaan masing-masing.
"RHB Smart Account/-i disediakan khusus untuk penerima gaji, dengan menawarkan ganjaran yang lebih tinggi apabila pelanggan menggabungkan kemasukan gaji dan keperluan perbankan harian mereka dengan RHB. Semua ciri akaun ini boleh diakses melalui platform Perbankan Mudah Alih RHB," kata kenyataan itu.
Pengarah Urusan Perbankan Komuniti RHB Group Jeffrey Ng berkata bank berkenaan berhasrat menjadikan perbankan harian lebih mudah dan fleksibel mengikut keperluan pelanggan.
"Akaun yang dinaik taraf ini dibangunkan untuk gaya hidup digital masa kini yang serba pantas, sekali gus menandakan satu langkah penting dalam usaha kami meningkatkan perkhidmatan digital kepada pelanggan.
"Kami menyasarkan untuk membuka 185,000 akaun baharu pada 2025, menjadikan produk ini sebagai satu daripada fokus utama dalam penawaran runcit kami," katanya.
RHB Bank berkata antara ciri utama RHB Smart Account/-i yang ditambah baik termasuk pilihan untuk memilih antara kadar bonus atau mata ganjaran kesetiaan, kategori ganjaran tambahan, papan pemuka langsung untuk pemantauan, serta fleksibiliti untuk menukar pilihan pada bila-bila masa.
"Akaun ini tampil berbeza dengan keupayaan yang memudahkan pelanggan memantau, mengurus dan mengoptimumkan faedah akaun mereka secara masa nyata," katanya.
Maklumat lanjut mengenai Akaun RHB Smart/-i boleh didapati di https://www.rhbgroup.com/smart/index.html.
-- BERNAMA