Tokenisasi Lonjak Keselamatan Pembayaran, Kurangkan Penipuan Dalam Pasaran Asia Pasifik

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Lonjakan dalam urus niaga tanpa sentuh, terutamanya di Asia Pasifik telah meningkatkan keselamatan pembayaran melalui teknologi tokenisasi yang akan memperluaskan tahap perlindungan yang sama dalam persekitaran digital atau tanpa kad fizikal.

Pegawai Risiko Serantau Visa Asia Pasifik, Stefaan D'Hoore berkata tokenisasi menggantikan nombor kad dengan token yang unik yang hanya berfungsi pada peranti tertentu dan dengan saudagar tertentu, menjadikan data berkaitan dengannya tidak berguna di luar konteks tersebut selain mengurangkan nilai kepada sindiket penipuan.

Tokenisasi membawa beberapa manfaat tambahan seperti meningkatkan kualiti maklumat yang dikongsi semasa proses pembayaran. Penambahan ini membantu meningkatkan kadar kelulusan pembayaran.

"Jadi, anda akan mendapat penolakan kelulusan pembayaran yang lebih sedikit apabila membuat urus niaga dalam talian dan pada masa yang sama, kami melihat pengurangan yang ketara dalam penipuan pembayaran," katanya semasa taklimat media hari ini.

Tokenisasi adalah pendekatan bukan matematik yang menggantikan data sensitif dengan pengganti yang tidak sensitif, tanpa mengubah jenis atau panjang data.

Tambahan pula, D'Hoore menyatakan Visa amat yakin bahawa tokenisasi adalah komponen kritikal dalam mengukuhkan keselamatan pembayaran. 

"Kami sedang berusaha dengan rakan kongsi, dengan pelanggan kami untuk meneruskan dan memacu penggunaan tokenisasi. Kemajuannya agak besar tetapi masih banyak lagi yang boleh dicapai," katanya.

D'Hoore menjelaskan para peniaga yang mengamalkan tokenisasi biasanya mengalami sehingga kenaikan lima peratus dalam kadar kelulusan, membuahkan pengalaman pengguna yang lebih lancar selain pengurangan yang ketara dalam kes-kes penipuan.

Syarikat itu tetap fokus dalam memperluaskan penggunaan teknologi tokenisasi di seluruh rangkaiannya, ini juga bermakna pembukaan laluan baharu dalam inovasi termaju bagi produk lain yang akan dibawa ke pasaran.

"Ia umpama batu loncatan atau elemen asas untuk inovasi selanjutnya. Pada tahun lepas, kami melewati paras satu bilion hanya di Asia Pasifik dalam jumlah token yang kini tertanam dalam pelbagai peranti  dan di seluruh laman web saudagar," katanya.

 D'Hoore berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat pencerobohan data di Malaysia termasuk kehilangan maklumat pelanggan.

Visa sentiasa bekerjasama dengan pelanggannya di Malaysia dan rantau ini dalam pembangunan penyelesaian yang mampu melindungi ekosistem pembayaran selain membina kepercayaan dengan pengguna.

D'Hoore menambah Visa sentiasa melabur dalam mengukuhkan ketahanan operasi serta rangkaian siber terasnya iaitu VisAnet dan sejak lima tahun lepas, syarikat itu telah melabur sebanyak US$10 bilion (US $ 1 = RM4.23) dalam teknologi untuk menjamin dan meningkatkan operasi Visanetnya, bersama-sama dengan pelaburan berjumlah US$3 bilion dalam kecerdasan buatan.

-- BERNAMA