CIMB Komited Lebih RM100 Juta Tingkatkan Kemahiran Tenaga Kerja Tahun Ini
KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- CIMB Group Holdings Bhd menyasarkan untuk mempercepat pelaburannya dalam latihan dan pembangunan tenaga kerjanya, dengan komitmen lebih RM100 juta pada 2025 yang menumpukan kepada kemahiran dalam teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), data dan kemampanan.
Syarikat perkhidmatan kewangan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata ia akan terus mengekalkan matlamatnya untuk memajukan pelanggan dan masyarakat dengan menggalakkan pertumbuhan yang inklusif dan penciptaan nilai jangka panjang untuk para pekerjanya.
“Melalui pelbagai inisiatif, termasuk program kemahiran semula dan peningkatan kemahiran, CIMB menyasarkan untuk menyediakan tempat kerja di mana para pekerja boleh berkembang dan bermandiri, mencerminkan komitmennya dalam membina tenaga kerja yang lebih inklusif, berdaya tahan dan diperkasakan,” katanya.
CIMB berkata semua pekerjanya yang berstatus tetap di Malaysia kini berpendapatan melebihi ambang gaji kehidupan wajar sebanyak RM3,100 sebulan seperti yang digariskan dalam Panduan Perbelanjaan Belanjawanku oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Komitmen ini sepenuhnya menyokong inisiatif Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) oleh Kementerian Kewangan dalam memperjuangkan amalan pampasan yang saksama berasaskan pasaran, menekankan komitmen kukuh CIMB terhadap amalan pampasan yang adil dan inklusif serta memastikan setiap pekerja di Malaysia mampu mencapai taraf hidup yang bermaruah,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Novan Amirudin berkata syarikat itu sejak sekian lama telah komited terhadap amalan pampasan yang adil dan berasaskan pasaran sebagai sebahagian daripada rangka kerja ganjarannya untuk pekerja.
“Sebagai satu perkembangan semula jadi, kami menyokong penuh inisiatif GEAR-uP untuk ‘menaikkan lantai’ gaji dan komited terhadap perjalanan berterusan dalam perkongsian dan penglibatan proaktif dengan para pemegang kepentingan kami.
“Pendekatan kami terhadap pampasan melangkaui gaji yang mana ia merangkumi ganjaran secara holistik, struktur imbuhan yang saksama dan elaun yang mencerminkan sumbangan dan nilai kakitangan kami,” katanya.
CIMB berkata kumpulan itu komited untuk membekalkan tenaga kerjanya dengan peralatan dan keupayaan yang diperlukan untuk kekal berdaya saing dan bersedia bagi masa depan.
“Pada 2024, kira-kira 2.66 juta jam pembelajaran telah dilaksanakan dengan peningkatan kepada kemahiran digital, data dan AI sejajar dengan komitmen CIMB untuk mengukuhkan keupayaannya dalam bidang itu,” tambahnya.
-- BERNAMA