BERITA TERKINI   Kejuaraan Kelab ASEAN 2025/2026: Selangor FC 1-1 BG Pathum United | Tiga kanak-kanak ditemukan lemas di kolam kumbahan berhampiran sebuah flat di Sibu Jaya, Sibu petang tadi - Bomba | Pengimportan sisa elektronik (e-waste) akan diklasifikasikan di bawah kategori Larangan Mutlak - Azam Baki | Jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memperkukuh penyelarasan, penguatkuasaan berkaitan e-waste - KP SPRM | Kerajaan akan meneliti kemasukan kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) ke Malaysia bagi melindungi ekosistem automotif negara - Johari | 

Hyundai Motor Malaysia Perkenal Staria, Tucson, Santa Fe Serba Baharu

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Hyundai Motor Malaysia (HMY), sebuah entiti Malaysia baharu yang ditubuhkan di bawah Hyundai Motor Company (HMC), melancarkan tiga model utama - Staria, Tucson baharu dan Santa Fe serba baharu -- untuk memperkukuh operasinya di Malaysia. 

Pengarah Urusan HMY Jahabarnisa Haja Mohideen berkata tiga model kereta ini mencerminkan gaya hidup dan perjalanan rakyat Malaysia daripada keperluan keluarga yang pelbagai hinggalah kepada pergerakan dengan ciri-ciri canggih dan dipacu keselesaan.

“Setiap model dipilih bertujuan menawarkan lebih banyak ruang, teknologi yang lebih pintar dan pengalaman pemanduan yang lebih selamat sejajar dengan permintaan harian pemandu Malaysia,” katanya dalam kenyataan. 

Model kereta baharu itu, Staria, Tucson dan Santa Fe, masing-masing berharga bermula daripada RM179,888, RM143,888 dan RM225,000.

Staria, memenuhi pelbagai keperluan pelanggan daripada keluarga besar kepada pengangkutan eksekutif dan penggunaan untuk tujuan gaya hidup. Ia boleh didapati dalam tiga varian: Style (10 tempat duduk), Prime (10 tempat duduk) dan Prestige (tujuh dan 10 tempat duduk). 

Hyundai turut memperkenalkan varian hibrid Tucson buat kali pertama di Malaysia, menampilkan reka bentuk baharu yang menarik dan bergaya serta peningkatan ketara dari segi ruang dalaman, sambungan digital dan prestasi enjin.

Santa Fe serba baharu boleh didapati dalam konfigurasi enam dan tujuh tempat duduk, memenuhi keperluan keluarga Malaysia yang mencari ruang fleksibel, ciri-ciri premium dan keselamatan yang canggih sebagai sebahagian daripada pemanduan harian mereka.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Bahagian Operasi Global HMC Young Lee berkata pelancaran HMY mencerminkan lebih daripada sekadar perubahan struktur. 

“Ia mewakili komitmen kami untuk memberikan perkhidmatan, kualiti dan penjagaan bertaraf dunia secara langsung kepada pelanggan kami di Malaysia.

“Kami berharap dapat menyokong pelanggan kami di sini dengan tahap responsif yang lebih tinggi, standard perkhidmatan terbaik dan produk yang memenuhi keperluan mereka dengan wajar,” katanya.

HMY menyasarkan untuk meningkatkan operasi perkhidmatannya kepada 25 cawangan menjelang 2030 dan memastikan kebolehcapaian yang lebih baik untuk pelanggan di seluruh negara.

Selain itu, HMY meraikan kemasukan terus ke pasaran Malaysia dengan menawarkan ganjaran eksklusif kepada pelanggan baharu dan sedia ada. Sebanyak 100 pelanggan pertama akan menikmati penyelenggaraan perkhidmatan percuma untuk lapan kali servis termasuk kos buruh dan alat ganti.

Hyundai juga mengukuhkan komitmen mereka terhadap penjagaan pelanggan yang bertaraf tinggi kerana semua kenderaan baharu akan didatangkan dengan waranti selama lapan tahun atau 160,000 kilometer dan buruh penyelenggaraan percuma sehingga empat kali ganda.

-- BERNAMA