BERITA TERKINI   Maxis Bhd umum dividen tahun kewangan 2025 sebanyak 17.5 sen, termasuk dividen interim keempat 4 sen sesaham dan dividen sekali sahaja 1.5 sen sesaham pada suku keempat | Jentera kerajaan, PBT perlu beri pemahaman tepat mengenai isu rumah ibadat kepada rakyat, elak salah faham - Fahmi | Fahmi hargai khidmat Suhaimi sebagai KP Penyiaran, hasil kerja, jasa selama tiga tahun tidak dilupakan | Untung bersih dan pendapatan Maxis Bhd naik 11.8 peratus dan 0.9 peratus kepada RM1.56 bilion dan RM10.63 bilion pada tahun kewangan 2025 | Ekonomi digital akan menjadi pemacu utama dalam mencapai sasaran pelaburan berkualiti Malaysia pada 2026 - Tengku Zafrul | 

MSM Umum Peletakan Jawatan CEO Kumpulan, Lantik Pemangku CEO Kumpulan

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Pengeluar gula MSM Malaysia Holdings Bhd mengumumkan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Syed Feizal Syed Mohammad berkuat kuasa esok.

MSM dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata Syed Feizal, 60, meletakkan jawatan atas sebab kepentingan peribadi selepas menerajui syarikat itu sejak Februari 2021.

Syarikat itu juga berkata tiada sebarang perselisihan faham antara Syed Feizal dan lembaga pengarah, serta tiada perkara berbangkit daripada peletakan jawatannya yang memerlukan tindakan daripada pemegang saham.

Sementara itu, MSM berkata Ketua Pegawai Operasi (COO) Kumpulan Hasni Ahmad, 57, telah dilantik sebagai Pemangku CEO Kumpulan berkuat kuasa esok.

Hasni yang memiliki ijazah dalam kejuruteraan kimia dari Clarkson University, Amerika Syarikat, telah berkhidmat sebagai COO MSM sejak 2021 dan sebelum ini memegang peranan dalam pengoperasian kanan di FGV Holdings Bhd.

-- BERNAMA