BERITA TERKINI   Institusi pondok perlu berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri bagi dapatkan bantuan daripada kerajaan - Mohd Na'im | Tauliah penceramah yang lakukan kesalahan termasuk libatkan akhlak dan moral boleh ditarik semula - Mohd Na'im | UMNO akan mula hantar saman terhadap pihak yang menyebarkan fitnah ke atas pimpinan parti itu — Setiausaha Agung | YAPEIM belanjakan RM13.5 juta laksanakan 293 projek bina baharu, baik pulih kediaman golongan asnaf seluruh negara sejak 2020 - Mohd Na'im | 

Bank Rakyat Guna Neurogine n2Tap Bagi Perkasa Perubahan Digital PMKS

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 2 Julai (Bernama) – Produk utama Neurogine Sdn Bhd iaitu Neurogine n2Tap diguna pakai oleh Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) sebagai sebahagian daripada inisiatif i‑MerchantRAKYAT bank tersebut.

Kerjasama strategik ini bertujuan memodenkan kaedah pembayaran bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) selain membolehkan pihak bank menerima pembayaran tanpa tunai serta tanpa sentuhan dengan menggunakan telefon pintar.

Selain itu, kerjasama berkenaan juga mempercepatkan perubahan digital bank sambil menggalakkan keterangkuman kewangan.

Neurogine dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini berkata fasa pertama projek itu disiapkan pada 2023 dengan kejayaan penyepaduan Neurogine n2Tap sebagai sebahagian daripada aplikasi i‑MerchantRAKYAT yang membolehkan sistem DuitNow QR digunakan.

Fasa kedua yang dimuktamadkan pada akhir 2024 berjaya menambah baik aplikasi berkenaan dengan ciri Near Field Communication (NFC) daripada Neurogine n2Tap sekali gus membolehkan PMKS menerima pembayaran tanpa sentuhan melalui telefon pintar daripada pemegang kad Mastercard dan MyDebit.

Menurut Neurogine, penyepaduan Neurogine n2Tap mengubah telefon pintar yang dilengkapi dengan NFC menjadi terminal pembayaran serba boleh.

Ini sekali gus menghapuskan keperluan untuk sistem tempat jualan (POS) tradisional selain membolehkan PMKS menerima pembayaran daripada pelbagai sumber termasuk kad kredit, kad debit dan dompet mudah alih.

Kata Neurogine, penyelesaian pembayaran mudah alih yang lancar dan selamat ini memperkasakan perniagaan bagi meningkatkan kecekapan operasi, memenuhi keperluan pelanggan yang lebih meluas serta memacu pertumbuhan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Neurogine Owen Chen Chee Onn berkata Bank Rakyat merupakan yang pertama di Malaysia menggunakan Neurogine n2Tap.

Katanya, ini sekali gus membolehkan bank itu mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi kewangan pilihan bagi memberi perkhidmatan kepada 1.1 juta peniaga mikro di negara ini selain menyokong pertumbuhan mereka.

“Neurogine n2Tap merupakan teknologi pembayaran mudah alih pertama di Malaysia yang menerima dua pensijilan piawaian keselamatan pembayaran mudah alih daripada Majlis Piawaian Keselamatan Industri Kad Pembayaran (PCI SSC) iaitu PCI Mobile Payments on Commercial off-the-shelf (MPoC) atau PCI MPoC Software dan PCI MPoC Solution.

“Pensijilan ini menyerlahkan tahap keselamatan dan kebolehoperasian global bagi inovasi yang dibangunkan di Malaysia selain Neurogine diluluskan oleh Payments Network Malaysia (PayNet) untuk beroperasi sebagai penyedia peranti tanpa sentuhan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata kerjasama ini menekankan komitmen bank untuk menyokong PMKS dalam perjalanan pendigitalan mereka.

Beliau menekankan lebih RM100 juta dalam pembiayaan mikro disalurkan kepada hampir 3,988 usahawan dan PMKS pada 2023 dan 2024.

Menurut beliau, aplikasi i-MerchantRAKYAT merupakan sebahagian daripada strategi lebih meluas Bank Rakyat bagi menyokong PMKS.

Katanya, ia membolehkan PMKS menerima pembayaran dengan mudah menggunakan sistem DuitNow QR yang mudah dan NFC sambil menjejak jualan serta menguruskan cawangan dan juruwang dengan cekap.

--BERNAMA