Bursa Malaysia Kekalkan Prestasi Tinggi Pada Tengah Hari
KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal sedikit tinggi semasa tengah hari pada Rabu, didorong oleh aktiviti pembelian berterusan di kaunter berwajaran tinggi terpilih, terutama dalam sektor perkhidmatan kewangan serta telekomunikasi dan media.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.81 mata kepada 1,548.34 daripada 1,541.53 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.80 mata lebih rendah pada 1,539.73.
Bagaimanapun, pasaran secara keseluruhan sedikit negatif dengan 430 kaunter rugi mengatasi 397 kaunter untung, manakala 469 kaunter tidak berubah, 1,095 kaunter tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.09 bilion unit bernilai RM1.20 bilion.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata indeks penanda aras tempatan dijangka bergerak dalam julat 1,540 hingga 1,550 hari ini.
Beliau berkata Wall Street ditutup bercampur-campur semalam apabila pelabur mengalihkan dana keluar daripada syarikat teknologi.
“Akta ‘One Big Beautiful Bill’ oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, telah diluluskan menerusi undian sengit di Senat. Bagaimanapun, perkara itu masih tertakluk kepada kelulusan Dewan Perwakilan.
“Sementara itu, hasil bon berjangka 10 tahun AS naik sedikit kepada 4.242 peratus,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata di peringkat domestik, FBM KLCI ditutup lebih tinggi.
“Kami berpandangan ini didorong pembelian oleh dana asing. Menarik untuk melihat aliran masuk asing bersih berlaku dalam beberapa hari kebelakangan ini,” katanya.
Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, Maybank dan CIMB masing-masing menambah 2.0 sen kepada RM9.74 dan RM6.77, Public Bank naik 4.0 sen kepada RM4.30, dan IHH Healthcare meningkat 1.0 sen kepada RM6.81, manakala Tenaga Nasional susut 12 sen kepada RM14.78.
Bagi saham paling aktif, ASM Automation turun setengah sen kepada 16.5 sen, Tanco merosot 1.0 sen kepada 88 sen, Gamuda meningkat 10 sen kepada RM5.07, manakala Compugates kekal tidak berubah pada 1.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 39.68 mata kepada 11,564.27, Indeks FBMT 100 naik 39.84 mata kepada 11,343.66, dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 29.49 mata kepada 11,590.90.
Indeks FBM 70 menambah 14.02 mata kepada 16,571.39, manakala Indeks FBM ACE susut 28.46 mata kepada 4,463.55.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 76.27 mata kepada 17,680.91, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.17 mata kepada 154.47, dan Indeks Tenaga menambah 1.82 mata kepada 743.36, manakala Indeks Perladangan turun 3.76 mata kepada 7,398.40.
-- BERNAMA