BERITA TERKINI   Gangguan bekalan stesen penjana di Melaka punca beberapa kawasan di Lembah Klang, Johor Bahru putus bekalan elektrik - TNB | Pelaku jenayah dalam kawasan sekolah akan dihadapkan ke muka pengadilan - Saifuddin Nasution | PDRM jamin siasatan telus, profesional insiden jenayah dalam kawasan sekolah - Saifuddin Nasution | Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor berjaya tarik minat 104 pelabur berpotensi dengan anggaran pelaburan berjumlah RM29.51 bilion setakat ini - PM Anwar | JS-SEZ terus tunjuk momentum luar biasa tarik pelaburan strategik antarabangsa, catat pelaburan diluluskan cecah RM37 bilion pada separuh pertama tahun ini - PM Anwar | 

Ringgit Ditutup Lebih Tinggi Berbanding Mata Wang Utama, ASEAN

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, disokong oleh sentimen serantau yang bertambah baik.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2060/2130 berbanding dolar AS daripada  4.2300/2355 ketika ditutup minggu lepas.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata sentimen perdagangan yang bertambah baik, didorong oleh perjanjian rangka kerja antara AS-China dan rundingan berterusan dengan rakan kongsi utama Asia, telah membantu mengurangkan premium risiko di seluruh rantau ini.

“Ini telah mendorong minat pelabur baharu dalam pasaran baharu muncul seperti Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata dengan penurunan inflasi AS, jangkaan meningkat untuk pemotongan kadar yang lebih agresif, terutamanya jika pengerusi Rizab Persekutuan yang baharu di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump mengamalkan pendirian yang lebih berdiplomasi.

“Ini boleh memberi tekanan lanjut terhadap dolar AS, dan pengukuhan ringgit hari ini secara umumnya sejajar dengan pergerakan mata wang serantau,” katanya.

Pada akhir urus niaga hari ini, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama dunia dan negara-negara ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9156/9206 daripada 2.9359/9399, menambah berbanding pound Britain kepada 5.7597/7693 daripada 5.8141/8217, dan menokok berbanding euro kepada 4.9290/9372 daripada 4.9597/9661 minggu lepas.

Selain itu, ringgit turut menaik berbanding dolar Singapura kepada 3.2986/3034 daripada 3.3192/3240, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9356/9627 daripada 13.0254/0488, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 259.0/259.5 daripada 260.9/261.4, dan menambah berbanding peso Filipina kepada 7.46/7.48 daripada 7.47/7.49, sebelumnya.

-- BERNAMA