Hyrax Oil Dilantik Sebagai pengedar Tunggal Untuk Ergon Malaysia
KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Pengeluar pelincir dan minyak transformer terkemuka Malaysia, Hyrax Oil Sdn Bhd dilantik sebagai pengedar tunggal minyak transformer berasaskan ester oleh Ergon Oil (Singapore) Pte Ltd, anak syarikat minyak Ergon Inc yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Pengerusi Eksekutif Hyrax Oil Group Datuk Hazimah Zainuddin berkata perkongsian itu tertumpu kepada minyak transformer berasaskan ester, dinilai berdasarkan keselamatan kebakaran, biodegradasi dan kebolehpercayaan jangka panjang syarikat itu.
"Di bawah perjanjian ini, Hyrax Oil berbesar hati untuk dilantik sebagai pengedar tunggal untuk produk Ester Sintetik HyVolt dan HyVolt Natural Ester Ergon di Malaysia, syarikat juga merancang untuk berkembang ke pasaran beberapa negara ASEAN dan Afrika.
"Cita-cita kami tinggi, pada masa sama, berfokus, bagi menguasai sebanyak mungkin pasaran minyak transformer berasaskan ester di Malaysia dan mengulangi kejayaan ini di peringkat serantau," katanya pada majlis menandatangani perjanjian tersebut di sini hari ini.
Hazimah berkata keyakinan syarikat terletak pada tiga tonggak iaitu prestasi terbukti produk Ergon, rangkaian pengedaran Hyrax Oil yang merangkumi lebih 40 negara dan lebih tiga dekad pengalaman berkhidmat dalam sektor tenaga, utiliti dan pengeluar peralatan asal (OEM).
Dengan menggabungkan kecemerlangan produk Ergon dengan maklum balas pasaran terhadap Hyrax Oil, beliau berkata, syarikat itu berada pada kedudukan yang baik untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan seperti Tenaga Nasional Bhd, Sarawak Energy Bhd, Sabah Electricity Sdn Bhd serta pengeluar transformer termasuk Malaysia Transformer Manufacturer (MTM) Sdn Bhd dan SGB MY Sdn Bhd.
"Kami teruja untuk memulakan perjalanan (perkongsian) ini bersama-sama untuk mencipta nilai untuk pelanggan kami dan untuk menetapkan penanda aras baharu bagi kecemerlangan produk di Malaysia dan seterusnya, seiring dengan komitmen ESG kami dan matlamat pembangunan mampan global," katanya.
Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), disaksikan oleh Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Dalam pada itu, Naib Presiden Jualan Ergon Oil (Singapore) Pte Ltd – Asia, Juan Acosta berkata perkongsian itu bukan sekadar melibatkan pembekalan, ia memberi tumpuan kepada menyokong peralihan tenaga Malaysia, membina keupayaan tempatan dan menyediakan sokongan teknikal.
Beliau berkata apa yang menjadikan perkongsian ini menarik adalah potensinya di luar Malaysia kerana syarikat itu melihat peluang untuk meneroka kerjasama masa depan di wilayah lain.
"Sebagai contoh, Afrika, Hyrax Oil sudah lama beroperasi di situ termasuk usaha sama syarikat itu di Afrika Selatan, meletakkannya pada kedudukan terbaik di pasaran serantau utama seperti Komuniti Pembangunan Afrika Selatan, Komuniti Afrika Timur dan Pasaran Bersama untuk Afrika Timur dan Selatan," katanya.
-- BERNAMA