BERITA TERKINI   Pindaan Akta MARA sedia untuk dibentang kepada jemaah menteri dalam tempoh tiga minggu - TPM Ahmad Zahid | Malaysia mempunyai simpanan gas mencukupi untuk sokong pertumbuhan industri - Johari Ghani | Pasaran semikonduktor global diunjurkan mencecah AS$1 trilion menjelang 2030, beri potensi manfaat ekonomi kepada Malaysia - Johari Ghani | Dua lelaki maut, tiga lagi cedera dalam kemalangan di Simpang 3 Manik Urai Lama, Kuala Krai, pagi tadi - Bomba Kelantan | Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) rekod 506 kes sehingga semalam, 228 daripadanya libatkan penyelewengan diesel - Armizan | 

Reservoir Link Raih Arahan Kerja Petronas Carigali Bagi Khidmat AWCA

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) --  Reservoir Link Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Reservoir Link Energy Bhd, berjaya memperoleh arahan kerja daripada Petronas Carigali Sdn Bhd bagi penyediaan perkhidmatan cucian anulus dan jaminan simen (AWCA).

Skop itu merujuk kepada kerja di telaga minyak atau projek minyak serta gas, membabitkan kerja-kerja simen bagi pengasingan bahagian telaga minyak selain memastikan integriti struktur telaga.

Menerusi kenyataannya, Reservoir Link berkata kumpulan itu telah menyediakan perkhidmatan berkenaan sejak 2019, sekali gus mewujudkan rekod prestasi baik serta memaparkan kepakaran diperlukan bagi menjalankan kerja terbabit.

“Seiring dengan prestasi lampau kumpulan, kontrak ini dijangka menjana sehingga RM25 juta setahun. Tempoh kontrak ini adalah sah selama empat tahun sehingga 2029 dengan nilai anggaran keseluruhan sebanyak RM100 juta,” kata penyedia perkhidmatan berkaitan tenaga itu.

Skop kontrak itu menyatakan perkhidmatan anulus dan jaminan simen itu yang merangkumi pembinaan terowong atau tingkap peredaran serta penggunaannya untuk mencuci serta membuang simen rosak daripada anulus tunggal atau berganda.

Sebagai tambahan, kontrak itu mengandungi aspek pembekalan simen yang merentasi anulus tunggal atau berganda menerusi terowong atau tingkap yang dibina.

Timbalan Pengerusi Eksekutif Reservoir Link Thien Chiet Chai berkata kejayaan berterusan syarikat itu membolehkannya terus berada dalam kedudukan kukuh untuk memperoleh kontrak serta memanfaatkan kepakaran sedia ada.

“Pencapaian terbaharu ini menjadi asas kukuh bagi pertumbuhan berterusan serta perluasan kerjasama dan kami sendiri amat teruja untuk melihat momentum yang terhasil daripada peluang ini,” katanya.

-- BERNAMA