BERITA TERKINI   RM254 juta diperuntukkan bagi program pembangunan koperasi tahun ini, tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 - Steven Sim. | Ladang Solar KLIA dijangka kurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 35,000 tan setahun - Fadillah | Inisiatif Ladang Solar KLIA sokong sasaran Malaysia capai 70 peratus penggunaan tenaga boleh baharu menjelang 2050 - Fadillah | Pelancaran Ladang Solar dan sistem penstoran tenaga (BESS) sokong operasi KLIA sebagai infrastruktur pengangkutan kritikal negara - TPM Fadillah | Dua PPS tempatkan mangsa kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang ditutup hari ini - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi | 

ASB 3 Didik Isytihar Agihan Pendapatan 5.25 Sen Seunit

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), Amanah Saham Nasional Bhd mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM423 juta untuk dana harga tetap, Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.  

Menurut PNB dalam kenyataan hari ini, pengagihan pendapatan itu adalah bersamaan dengan 5.25 sen seunit kepada 338,320 pemegang unit yang kini memiliki sebanyak 8.12 bilion unit.

“Pengagihan pendapatan ASB 3 Didik ini menyumbang kepada jumlah pulangan sebanyak 5.25 peratus mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12-Bulan Maybank sebanyak 2.51 peratus, dengan kelebihan 274 mata asas,” katanya.

Katanya sehingga 19 Jun lepas, ASB 3 Didik merekodkan pendapatan bersih yang direalisasi sebanyak RM539.10 juta. 

Menurut PNB, dana itu berjaya mengekalkan pembayaran dividen sebanyak 5.25 sen seperti tahun sebelumnya walaupun berdepan tempoh yang jauh lebih mencabar akibat persekitaran ekonomi global dan pasaran modal yang amat tidak menentu.

“Ini berpunca daripada perubahan ketara dalam dasar perdagangan Amerika Syarikat dan ketegangan geopolitik yang meningkat,” katanya.

Katanya pencapaian ini mencerminkan komitmen PNB dalam menyokong matlamat kewangan jangka panjang pelabur bumiputera melalui pengurusan yang berdisiplin dan proaktif.

PNB berkata dana itu telah menjana sebahagian besar pendapatannya daripada keuntungan direalisasi dan pendapatan dividen melalui gabungan pelaburan ekuiti tempatan dan global.

“Menyedari kepentingan kestabilan pendapatan, kami juga telah mempelbagaikan pelaburan ke dalam Aset Pendapatan Tetap Global memastikan aliran pendapatan yang stabil dan boleh dipercayai untuk menyokong kestabilan kewangan pelabur, seiring dengan keperluan pelabur muda yang sedang meningkat dan pelabur setia kami,” katanya.

Menurut PNB, urus niaga ASB 3 Didik di cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan Internet, telah digantung sementara dari 27 hingga 30 Jun 2025 bagi tujuan pengiraan agihan pendapatan.

Pemegang unit boleh menyambung semula urus niaga melalui portal myASNB (www.myasnb.com.my), aplikasi mudah alih myASNB atau di mana-mana cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara mulai 1 Julai 2025.

-- BERNAMA