BERITA TERKINI   PM Anwar sifatkan usaha damai NGO Islam dan Hindu cerminan kematangan rakyat, tolak perpecahan | Sebanyak RM11.12 juta kerugian libat penipuan dalam talian direkodkan di Kota Kinabalu bagi tempoh Januari hingga 15 Mac lepas - Polis | Anutin Charnvirakul dipilih semula sebagai PM Thailand dengan mandat kuat Parlimen | Untung bersih Yinson Holdings Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2026 susut kepada RM683 juta daripada RM1.24 bilion pada tahun kewangan 2025 | 

Amir Hamzah Diberi Tanggungjawab Jalankan Tugas Dan Fungsi Menteri Ekonomi

PUTRAJAYA, 27 Jun (Bernama) -- Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan diberi tanggungjawab menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Setiausaha Negara yang juga Setiausaha Jemaah Menteri Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata perkara itu dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dimaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Jun lepas.

"Tugas utama Amir Hamzah adalah untuk mengolah dan merombak semula intipati naskhah Rancangan Malaysia ke-13 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai 2025," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ia termasuk mengambil kira maklumat tambahan yang dikemukakan oleh kementerian-kementerian serta pandangan dan  ulasan yang diberikan oleh Jemaah Menteri.

Pada 28 Mei lepas, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam satu kenyataan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun 2025, selepas gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR.

Rafizi dalam kenyataan sama berkata kekalahannya dalam pemilihan itu bermakna beliau tidak lagi mempunyai mandat daripada parti untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan PKR menjadi program kerajaan.

Perdana Menteri pada hari sama mengesahkan menerima surat permohonan cuti bermula dari tarikh sama dan pengunduran Rafizi sebagai anggota Kabinet.

Sementara itu, Amir Hamzah dalam kenyataan merakamkan penghargaan terhadap kepercayaan Perdana Menteri yang memberi mandat kepada beliau untuk membantu tugasan di Kementerian Ekonomi

Beliau berkata antara tumpuan utama ketika ini adalah untuk memuktamadkan naskhah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13).

"Banyak maklum balas diterima daripada menteri-menteri yang memerlukan rombakan semula inti pati RMK-13 supaya memaparkan dengan terbaik dasar keutamaan Kerajaan MADANI serta meneruskan momentum pembaharuan agenda Ekonomi MADANI," katanya.

-- BERNAMA