MIDF Amanah: Penutupan Selat Hormuz Dijangka Bawa Risiko Kecil Kepada Malaysia
KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Kemungkinan penutupan Selat Hormuz oleh Iran berikutan undian di parlimen negara itu baru-baru ini dijangka hanya memberi risiko kecil kepada Malaysia, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd.
Bank pelaburan itu menerusi nota penyelidikan hari ini berkata koridor perdagangan utama Asia-Eropah Malaysia, yang menyumbang kurang daripada 15 peratus kepada jumlah volum di Westports, melangkaui dari Selat Hormuz sepenuhnya.
“Kesesakan di pelabuhan dalam tempoh jangka pendek dan kelewatan di dermaga mungkin masih berlaku jika berlakunya penjadualan semula singgahan kapal dan penyelarasan semula kapal pengantara ke rantau ini pada separuh kedua 2025.
“Walaupun laluan perkapalan Laut Merah sudah hampir kembali normal, ketegangan yang meningkat di Selat Hormuz memberikan risiko baharu kepada aliran kontena serantau, berikutan undian parlimen Iran baru-baru ini untuk menutup selat itu sebagai tindakan balas terhadap serangan Amerika Syarikat ke atas pelbagai kemudahan nuklearnya,” kata bank pelaburan itu.
MIDF Amanah berkata penutupan selat itu akan menyekat akses ke pelabuhan utama Teluk, seperti Jebel Ali dan Dammam, menyebabkan syarikat perkapalan terpaksa sama ada menangguhkan singgahan di Teluk atau mengalihkan kargo melalui hab alternatif dengan kapasiti terhad.
"Ini boleh menyebabkan kesesakan sementara trafik kapal dan penggunaan limbungan yang lebih tinggi di hab pemindahan kapal serantau ketika perkapalan membuat penyelarasan, menyusun semula kontena kosong dan menguruskan gangguan penjadualan," katanya.
-- BERNAMA