Public Gold Memeterai Perjanjian Peroleh Jongkong Emas Dari Republik Kyrgyz
KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Public Gold Marketing Sdn Bhd (Public Gold) telah memeterai perjanjian untuk memperoleh jongkong emas dari Kyrgyzaltyn, perusahaan emas domestik terbesar di Republik Kyrgyz.
Public Gold melalui satu kenyataan hari ini berkata ia bersedia untuk memperoleh 300 kilogram jongkong emas dengan nilai Au 999.9 dari Kyrgyzaltyn menjelang 31 Disember 2025, yang akan dipasarkan di peringkat antarabangsa.
Bagi memulakan perkongsian itu, syarikat perdagangan logam berharga itu telah menyelesaikan pengambilalihan pertama 50 kilogram jongkong emas Au 999.9 dari Kyrgyzaltyn pada Mei lepas.
Kerjasama ini menandakan satu kejayaan yang amat bermakna untuk Public Gold, terutamanya dalam sektor emas di Republik Kyrgyz.
Di Republik Kyrgyz, emas adalah komoditi yang dikawal ketat di bawah pengawasan kabinet menteri dan Kementerian Kewangan.
"Walaupun keperluan pengawalseliaannya agak ketat, Public Gold berjaya mendapat kelulusan melalui usaha wajar yang komprehensif, model perniagaan yang telus serta cadangan yang amat teliti yang telah memenuhi piawaian Kyrgyzaltyn," katanya.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Public Gold, Datuk Louis Ng berkata syarikat itu berasa berbesar hati memandangkan ia telah menjadi syarikat swasta Malaysia pertama yang diberikan hak untuk memperoleh jongkong emas dari Kyrgyzaltyn.
"Pencapaian ini merupakan bukti kepimpinan kami dalam industri emas dan keyakinan yang diletakkan di dalam syarikat oleh institusi utama Kyrgyzstan.
"Kami komited sepenuhnya untuk mengekalkan standard integriti dan kecemerlangan tertinggi yang menjadikan perkongsian bermakna ini sebagai satu kenyataan," katanya lagi.
-- BERNAMA