BERITA TERKINI   Syarikat pengendali kenderaan barangan dan bas ekspres diberi tempoh 14 hari mulai hari ini untuk selesaikan semua saman tertunggak -- Loke | MOT gesa semua syarikat pengendali kenderaan barangan dan bas ekspres amal budaya utamakan keselamatan -- Loke | Pelaburan langsung asing Malaysia mencatat aliran masuk bersih berjumlah RM51.5 bilion pada 2024, meningkat daripada RM38.6 bilion pada 2023 -- DOSM | 

Pasaran Getah Ditutup Rendah Selaras Dengan Aliran Menurun Di Pasaran Serantau

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup lebih rendah hari ini, selaras dengan aliran menurun di pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.

Pasaran juga diseret oleh kejatuhan dalam harga minyak mentah. 

"Penurunan ketara harga minyak mentah ke tahap terendah dalam lebih seminggu hari ini berlaku selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata gencatan senjata telah dipersetujui antara Iran dan Israel, mengurangkan kebimbangan gangguan bekalan di Timur Tengah," katanya kepada Bernama. 

Setakat ini, harga minyak mentah Brent susut 2.53 peratus kepada US$69.67 setong. 

Bagaimanapun, beliau berkata kerugian selanjutnya telah dihadkan oleh kebimbangan mengenai bekalan bahan mentah getah asli yang semakin berkurangan akibat cuaca buruk di negara pengeluar utama seperti Thailand. 

"Banjir kilat di Thailand mengakhiri kerugian kedua berturut-turut dalam niaga hadapan getah Jepun pada hari Isnin," menurut broker Hexun Futures.

"Agensi meteorologi Thailand telah memberi amaran tentang hujan lebat dan pengumpulan yang boleh menyebabkan banjir kilat dari 23 hingga 27 Jun," kata peniaga itu.

Pada  3 petang, Lembaga Getah Malaysia (MRB) melaporkan bahawa SMR 20 menurun sebanyak 6.5 sen kepada 693.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal merosot sebanyak 1.5 sen kepada 587.00 sen sekilogram.

-- BERNAMA