BERITA TERKINI   PM Anwar tiba di Jakarta untuk lawatan rasmi, disambut Presiden Prabowo di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma | Bekas Mufti Johor Datuk Dr Nooh Gadot diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1447H/2025M | Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfig Fawzan Muhammed Al-Rabiah diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 1447H/2025M | Pentas dakwah medan pengajaran agama Islam tidak wajar dijadikan tempat membawa agenda politik kepartian - Agong | Pemimpin masyarakat dinasihatkan agar tidak mempolitikkan agama Islam untuk kepentingan peribadi - Agong | 

Malaysia Perlu Bangunkan Jaguh Semikonduktor Tempatan – Presiden MSIA

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Malaysia perlu mempercepat pembangunan jaguh tempatan dalam industri semikonduktor dan mengukuhkan rantaian nilainya untuk kekal berdaya saing di peringkat global, kata Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) Datuk Seri Wong Siew Hai.

Beliau berkata walaupun Malaysia berada di kedudukan keenam dunia dalam pemasangan semikonduktor dan menyumbang tujuh peratus kepada perdagangan global, negara ini berisiko untuk ketinggalan berbanding rakan serantau sekiranya tidak berkembang, melebihi daripada kebergantungannya kepada pelaburan langsung asing (FDI) sejak sekian lama.

“Pada 2024, eksport elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia mencapai rekod RM601 bilion. Bagaimanapun untuk mengekalkan kedudukan ini, kita perlu menggandakan jumlah berkenaan kepada RM1.2 trilion menjelang 2030, terutamanya memandangkan pasaran semikonduktor global diunjurkan mencecah US$1 trilion (RM4.28 trilion),” katanya pada Forum Ekonomi Malaysia 2025.

Wong berkata walaupun Malaysia telah membina asas yang kukuh sejak terlibat dalam industri ini pada 1972, negara masih ketinggalan berbanding Taiwan, Korea Selatan dan China yang telah giat membangunkan ekosistem domestik di samping menarik syarikat multinasional.

“Malaysia hanya mempunyai lima kilang fabrikasi dan lebih 30 syarikat reka bentuk multinasional litar bersepadu (IC), tetapi negara lain mempunyai ratusan.

“Kita mesti membangunkan jaguh tempatan dalam segmen bernilai tinggi seperti reka bentuk IC dan pembungkusan termaju, dan dikembangkan sekurang-kurangnya mencapai nilai RM1.0 bilion.

“Dalam tempoh tiga tahun lepas, kira-kira 100 kilang fabrikasi semikonduktor baharu telah diumumkan di seluruh dunia, tetapi tiada satu pun di Malaysia. Dalam tempoh tiga tahun akan datang, sebanyak 30 lagi dijangka diumumkan. Menerima walaupun satu merupakan satu kejayaan yang besar,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa pertumbuhan pesat kecerdasan buatan dan transformasi digital telah mendorong permintaan terhadap data dan daya pengkomputeran, justeru memerlukan pelaburan strategik dalam infrastruktur mampan.

“Malaysia pada masa ini mempunyai 82 pusat data, tetapi banyak menggunakan tenaga dan air. Kita perlu menangani isu kemampanan di samping bersedia menarik kilang fabrikasi berkualiti tinggi,” katanya.

Mengenai Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), Wong berkata pelan hala tuju berkenaan tepat pada masanya, namun pelaksanaannya perlu berani dan pantas.

“Persaingan telah bermula. Negara seperti India, Singapura, malah beberapa negara di Asia Tengah dan Timur Tengah telah mengumumkan strategi semikonduktor masing-masing. Malaysia perlu melaksanakan rancangannya dengan tegas atau mempunyai risiko ketinggalan,” katanya.

Mengulas mengenai insentif, Wong mengiktiraf usaha kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap insentif, namun menyarankan Malaysia untuk kekal berdaya saing dalam persaingan global.

“Walaupun kita telah menawarkan insentif selama beberapa dekad, negara-negara lain kini meningkatkan lagi insentif mereka. Sekiranya kita berundur ketika negara lain mara ke hadapan, kita berisiko terlepas peluang besar,” katanya.

-- BERNAMA