BERITA TERKINI   Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 jadikan KL bandar bersifat manusiawi, inkusif, guna teknologi digital, AI - PM Anwar | Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 permulaan rombakan besar dalam perancangan pembangunan ibu negara - PM Anwar | Nahas FRU: Mahkamah Majistret Teluk Intan keluar waran tangkap ke atas pemilik syarikat lori kerana gagal hadir ke mahkamah hari ini | ASEAN perlu terapkan teknologi baharu tingkat keupayaan pengesanan jenayah, penguatkuasaan - Saifuddin Nasution  | Khazanah pilih lima firma modal teroka pertama di bawah Program Pengurus Dana Pesat Membangun Jelawang dan Pengurus Dana Serantau, bukti komitmen pacu ekosistem | 

Niaga Hadapan Emas Melantun Semula Untuk Ditutup Tinggi

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives melonjak semula untuk ditutup lebih tinggi pada Isnin, didorong oleh ketegangan geopolitik yang meningkat susulan pengeboman kemudahan nuklear Iran oleh Amerika Syarikat (AS) pada Ahad.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata walaupun dolar AS mengukuh berbanding ringgit, harga emas melonjak apabila pasaran dengan segera menilai semula risiko geopolitik, sekali gus mengembalikan tumpuan kepada aset selamat.

“Perkembangan ini mencerminkan peningkatan permintaan pelabur terhadap keselamatan di tengah-tengah kebimbangan mengenai kemungkinan tindak balas dan ketidakstabilan yang lebih meluas di Timur Tengah,” katanya kepada Bernama hari ini.

Kontrak bulan semerta Jun 2025 meningkat kepada US$3,368.6 setiap auns troy berbanding US$3,360.0 setiap auns troy pada Jumaat, manakala kontrak Julai 2025 naik kepada US$3,381.5 setiap auns troy daripada US$3,366.5 setiap auns troy sebelum ini.

Kontrak Ogos, September dan Oktober 2025 masing-masing menokok kepada US$3,397.5 setiap auns troy daripada US$3,388.6 setiap auns troy pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan melonjak kepada 38 lot berbanding lapan lot pada penutup Jumaat, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 59 kontrak daripada 31 kontrak sebelum ini.

Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 20 Jun, 2025, harga emas fizikal berada pada US$3,368.25 setiap auns troy. 

-- BERNAMA