BERITA TERKINI   Syarikat pengendali kenderaan barangan dan bas ekspres diberi tempoh 14 hari mulai hari ini untuk selesaikan semua saman tertunggak -- Loke | MOT gesa semua syarikat pengendali kenderaan barangan dan bas ekspres amal budaya utamakan keselamatan -- Loke | Pelaburan langsung asing Malaysia mencatat aliran masuk bersih berjumlah RM51.5 bilion pada 2024, meningkat daripada RM38.6 bilion pada 2023 -- DOSM | Malaysia, Republik Kyrgyz desak Israel tamatkan jenayah genosid demi keselamatan dan keadilan buat Gaza – PM Anwar | Kertas siasatan libatkan Ismail Sabri selesai, Timbalan Pendakwa Raya setuju fail permohonan lucutkan hak RM 170 juta - KP SPRM | 

Affin Bank Boleh Memangkin Pertumbuhan PKS Dalam Sektor Strategik - Abang Johari

KUCHING, 23 Jun (Bernama) -- Affin Bank Bhd berada dalam kedudukan yang baik untuk menjadi pemangkin pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sarawak dengan menawarkan pembiayaan bersasar, sokongan transformasi digital dan pembinaan kapasiti bukan kewangan yang sejajar dengan sektor-sektor ekonomi strategik negeri itu.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata bank itu juga perlu memperdalam peranannya bagi memperkasa PKS melalui inisiatif inklusif dan program celik kewangan, sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu oleh inovasi.

“Bagi sokongan bukan kewangan, melalui program-program seperti AFFIN BizChat, bank ini boleh menyediakan PKS akses kepada sumber perniagaan, maklumat pasaran dan amalan terbaik, sekali gus memperkasakan mereka untuk berinovasi dan berkembang secara mampan.

“Affin Bank boleh mengutamakan pembiayaan dan khidmat nasihat untuk PKS dalam sektor-sektor yang menjadi teras kepada kepelbagaian Sarawak seperti usaha niaga asas tani, pelancongan, pembuatan, teknologi dan ekonomi hijau,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Kewangan Sarawak Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar pada majlis pelancaran Cawangan Affin Bank Jalan Satok, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata kehadiran dan pengembangan berterusan bank itu di negeri ini sepatutnya sepadan dengan komitmen yang lebih mendalam untuk menyokong ekosistem PKS, terutamanya di kawasan luar bandar dan separa bandar yang penting kepada agenda transformasi ekonomi Sarawak.

Melihat ke hadapan, beliau berkata Affin Bank berpotensi untuk berkembang bukan sahaja sebagai sebuah bank terkemuka di negara ini, tetapi juga sebagai kuasa kewangan serantau dengan menerima inovasi termaju seperti pembantu kewangan berkuasa kecerdasan buatan (AI), kelulusan pinjaman secara automatik, dompet digital dan platform perbankan terbuka.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Datuk Wan Razly Abdullah berkata pengembangan cawangan itu merupakan satu langkah ke hadapan dalam meluaskan capaian bank dan meningkatkan keupayaannya untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan runcit, PKS dan korporat melalui penyelesaian khusus dalam kewangan perdagangan, khidmat nasihat dan perbankan transaksi.

 “Dengan memperkukuh kehadiran kami dalam komuniti yang bersemangat ini, kami bukan sahaja meningkatkan kebolehcapaian, tetapi juga mengukuhkan komitmen kami untuk menyampaikan inovatif dan penyelesaian kewangan berteraskan pelanggan bagi memperkasakan individu dan perniagaan dalam mencapai potensi penuh mereka,” tambahnya.

-- BERNAMA