BERITA TERKINI   PM Anwar mahu prestasi SMK Banggi sebagai pusat pembangunan modal insan dipertingkat, mahu laporan dalam dua minggu | RM1 juta naik taraf jeti Kampung Dogoton, Pulau Banggi bagi kegunaan penduduk dan agensi penguatkuasa - PM Anwar | RM1.25 juta untuk pelbagai program termasuk pendidikan, teknologi hijau dan kesihatan di Pulau Banggi - PM Anwar | Naik taraf Jalan Kampung Limbuak Laut-Kampung Pengkalan Darat di Pulau Banggi dilaksana dengan kos hampir RM44 juta - PM Anwar | Kerajaan lulus lebih RM31 juta untuk naik taraf infrastruktur dan kemudahan rakyat di Pulau Banggi - PM Anwar | 

Permohonan Pendaftaran Baharu Skop Cukai Perkhidmatan & Kadar Cukai Jualan Dibuka Mulai 1 Ogos

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa permohonan pendaftaran baharu berkaitan peluasan skop cukai perkhidmatan serta semakan kadar cukai jualan yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025, boleh dibuat mulai 1 Ogos 2025.

Bagi pihak berdaftar sedia ada, permohonan penambahan perkhidmatan baharu di bawah peluasan skop cukai perkhidmatan dan kod tarif di bawah semakan kadar cukai jualan boleh dikemukakan mulai 24 Jun 2025, menurut kenyataan kementerian itu di platform X hari ini.

Pada 9 Jun, kerajaan mengumumkan semakan semula kadar cukai jualan yang disasarkan serta peluasan skop cukai perkhidmatan, yang kedua-duanya akan berkuat kuasa pada 1 Julai.

Kadar cukai jualan kekal tidak berubah bagi barangan keperluan asas, manakala kadar lima atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan terpilih.

Dalam pada itu, skop cukai perkhidmatan akan diperluas untuk merangkumi enam perkhidmatan baharu iaitu penyewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan perkhidmatan kecantikan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Datuk Johan Mahmood Merican dilaporkan berkata bahawa hasil kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dijangka meningkat sebanyak RM5 bilion pada 2025 dan RM10 bilion pada 2026 susulan pelaksanaan semula dan peluasan skop SST bermula bulan depan.

-- BERNAMA