BERITA TERKINI   Penyanyi veteran era 80-an Zaleha Hamid meninggal dunia 8.30 malam ini pada usia 70 tahun | 

Petronas Depani Keperluan Baharu Era Peralihan Tenaga

Oleh Kamarul Ariffin Md Yasin dan Siti Nurhana Shafirah Mat Nazir

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) perlu mendepani keperluan baharu dalam era peralihan tenaga untuk kekal relevan dalam menangani keadaan ketidaktentuan ekonomi dan ketegangan geopolitik ketika ini. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, bagi jangka masa pendek penghasilan hidrokarbon perlu lebih bersih dan berintensiti karbon rendah dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, selain menangani kebocoran metana mengikut piawaian. 

“Bagi kami certification (pensijilan) emas untuk OGMP(Oil & Gas Methane Partnership) 2.0 satu kewajipan. Kedua, kami akan mengelakkan flaring atau pengeluaran gas wenang-wenangnya secara rutin dan rasanya setakat ini, lebih daripada 20 aset kami telahpun berjaya menanganinya dengan mempraktikkan zero routine flaring ini.

"Dalam jangka masa sederhana dan panjang, seperti saya sebutkan tadi, memberikan offering (penawaran)  seperti CCS (pemerangkapan dan penyimpanan karbon), memberikan offering seperti specialty chemicals (kimia khusus) harus digembeleng seawal mungkin dan rasanya untuk itu perlu ada platform yang sesuai, dan untuk itu pelaburan perlu dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu temu bual eksklusif bersama Bernama TV semalam pada persidangan Energy Asia 2025 yang berlangsung di sini dari 16 hingga 18 Jun. 

Muhammad Taufik berkata, Petronas perlu melalui satu perubahan dengan transformasi bukan lagi merupakan satu pilihan tetapi kewajipan sebagai persediaan untuk peralihan kepada sistem tenaga karbon rendah. 

"Kalau dulu kami berorientasikan produksi di mana produksi atau penghasilan... di mana kita buat, orang akan beli, sekarang kita perlu lebih memahami, kita hanya akan buat apa orang sanggup beli.

“Sanggup beli dari segi kemampuan, dari segi keperluan, jadi kalau hanya untuk membekalkan tenaga dalam bentuk gas asli cecair (LNG) kepada pasaran tradisional seperti Jepun, mungkin sekarang tak cukup..." katanya.

Sementara itu, Tengku Muhammad Taufik berkata Petronas memfokuskan kepada aset bernilai tinggi serta melaksanakan pengoptimuman portfolio yang strategik termasuk penambahan atau pengurangan pegangan bagi pengoptimuman peruntukan modal, meningkatkan pulangan, dan memperkukuh fokus untuk menyokong pertumbuhan mampan.

"Bagi Petronas, seperti mana-mana pemain tenaga yang lain dalam sektor, (usaha) mengoptimumkan portfolio itu adalah satu kegiatan wajib dan akan selalu dan sentiasa dipraktikkan.

“Kalau pelaksanaan mengoptimumkan portfolio ini memerlukan kita jual aset yang mungkin lebih tinggi pengeluaran karbonnya dan digantikan pula dengan aset-aset baru yang dapat memanjangkan usia pengeluaran dari sektor huluan, we will do that (kita akan lakukannya)," katanya.

Bagi sektor hiliran pula, Tengku Muhammad Taufik berkata jika aset yang dilupuskan menyebabkan margin terjejas, Petronas akan menggantikannya, yang mana marginnya lebih stabil dan kurang terdedah kepada ketidaktentuan.

"...dan di situlah pula masuknya entiti seperti Gentari, yang mana kalau pengeluaran elektron ini bersaing dengan molekul, mungkin keuntungannya kurang, tetapi kurang terdedah kepada ketidaktentuan," katanya.

-- BERNAMA