BERITA TERKINI   Ketika Parlimen bersedia untuk mempertimbangkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara, peralihan itu akan teratur, berasaskan bukti dan berpaksikan kepentingan negara - PM Anwar | Pengukuhan ringgit mencerminkan keyakinan terhadap institusi, hala tuju dasar dan kepercayaan bahawa negara ditadbir dengan disiplin dan matlamat yang jelas - PM Anwar | Keyakinan pelaburan kembali meningkat selepas Malaysia berada pada kedudukan lebih kukuh, dengan KDNK dijangka berkembang dan inflasi terkawal - PM Anwar | Keyakinan pelaburan kembali meningkat apabila Malaysia berada pada asas lebih kukuh, dengan KDNK di landasan untuk berkembang dan inflasi terkawal - PM Anwar | Malaysia akan terus berada pada trajektori pertumbuhan positif -- pertumbuhan berdaya tahan, inklusif dan ditadbir dengan integriti - PM Anwar | 

Malaysia Berkedudukan Baik Untuk Bangun Ruang Pasaran Kewangan Islam - Affin Bank

Oleh Suraidah Roslan

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Malaysia berada di kedudukan yang baik untuk membangunkan ruang pasaran kewangan Islam dan menjadi hab bagi penyatuan mudah tunai, disokong oleh peningkatan permintaan dalam pembiayaan selamat Islam, kata Pengarah Eksekutif Perbendaharaan Kumpulan Affin Bank, Hanif Ghulam.

Beliau berkata pembiayaan selamat Islam, khususnya program Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII), telah mencapai RM42 bilion pada 2024.

"Pasaran kewangan Islam telah berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya dengan inisiatif bank pusat untuk memastikan kestabilan pasaran. Kita telah membina kedalaman mudah tunai dalam ruang kewangan Islam Malaysia.

"Jadi, kita berada di kedudukan yang baik bukan sahaja untuk bertindak balas terhadap potensi senario penyusutan tetapi juga dalam merebut peluang di pasaran. Kita juga mempunyai produk yang pelbagai serta luas bagi menampung sebarang risiko dalam mata wang dan juga komoditi," katanya kepada Bernama semasa Simposium Sasana 2025 hari ini.

Hanif juga menyerlahkan potensi Malaysia dalam menarik pelaburan melalui projek-projek yang berkaitan dengan lestari dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus seperti solar serta hidroelektrik.

Bagi menarik lebih banyak aliran masuk asing ke pasaran modal Islam, beliau menegaskan bertapa pentingnya penyeragaman dokumentasi serta usaha meningkatkan kerangka undang-undang, selain memudahkan kemasukan dan keluar untuk pelabur, selaras dengan keperluan profil peluang pelaburan.

"Jika infrastruktur kita dapat dirancang dengan baik, maju dari segi dokumentasi dan akses, kita dapat mengembangkan pasaran ini dengan dua kali atau tiga kali ganda," kata Hanif, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pasaran Kewangan Islam (IFMC).

-- BERNAMA