PM Anwar Seru Nilai Kemanusiaan Teras Dalam Pembangunan Ekonomi, Teknologi
ISKANDAR PUTERI, 19 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyeru pertumbuhan ekonomi berlandaskan etika, budaya dan kemanusiaan walaupun negara sedang memanfaatkan kemajuan teknologi yang pesat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pembangunan pesat rantau ini pada akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat, bukan sahaja dari segi material, malah melalui pendidikan, teknologi serta prinsip moral yang kukuh.
“Kemanusiaan membawa maksud mata pencarian yang lebih baik, pendidikan yang lebih baik, penjagaan kesihatan dan teknologi. Namun, pada masa sama, ia perlu terikat dengan nilai, etika dan kemanusiaan,” kata beliau ketika berucap pada acara Nikkei Forum Medini Johor 2025 di sini.
Perdana Menteri menekankan walaupun Johor dan Malaysia semakin maju dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan ekonomi digital, usaha bersepadu diperlukan untuk memelihara tunjang budaya dan tamadun negara.
Anwar memberikan contoh lawatan beliau ke Jepun baru-baru ini, sambil memetik karya ahli falsafah terkenal Jepun Toshihiko Izutsu yang mengkaji Islam secara mendalam untuk menggambarkan bagaimana kefahaman etika dan falsafah boleh memperteguh hubungan dua hala.
“Kita perlu menggesa generasi muda untuk memfokuskan bukan sahaja kepada bidang baharu malah nilai, budaya dan tamadun,” kata Perdana Menteri.
Menurut Anwar pembangunan negara khususnya di negeri sedang pesat berkembang seperti Johor, perlu mengutamakan elemen kemanusiaan seperti kualiti hidup, pendidikan, kesihatan dan akses kepada teknologi.
“Pembangunan di Malaysia dan Johor adalah untuk rakyat, yang bererti dimensi kemanusiaan perlu diambil kira. Terdapat keperluan untuk generasi masa kini memberi fokus kepada bidang baharu.
“Ya, kita mungkin ketinggalan sekiranya tidak menerima teknologi dan AI, tetapi ia mesti dilaksanakan dengan kaedah yang mengekalkan nilai moral, budaya tempatan dan bahasa kita,” kata beliau.
Mengulas mengenai landskap ekonomi global, Anwar berkata Johor terus mencatatkan prestasi ekonomi yang mantap walaupun dengan peningkatan ketidaktentuan global termasuk dasar tarif unilateral yang diperkenalkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan konflik berterusan di Timur Tengah.
Beliau turut memuji trajektori pertumbuhan positif Johor dengan usaha strategik yang dijalankan oleh agensi berkaitan kerajaan seperti Iskandar Investment Bhd (IIB), terutamanya dalam memacu pembangunan berimpak tinggi dan mendapatkan pelaburan berkualiti.
Dianjurkan bersama oleh IIB dan Nikkei Inc. Jepun, Nikkei Forum Medini Johor 2025 selama dua hari dihoskan oleh kerajaan negeri Johor dengan sokongan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor, Invest Johor dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.
-- BERNAMA