Malaysia Tolak Tarif Unilateral, Komited Sokong Perdagangan Multilateral - PM Anwar
ISKANDAR PUTERI, 19 Jun (Bernama) -- Malaysia tetap tegas menolak pelaksanaan tarif unilateral dan terus mendukung sistem perdagangan multilateral antarabangsa yang berasaskan peraturan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Beliau berkata kerajaan Malaysia tidak menyokong atau menerima sebarang bentuk tindakan perdagangan unilateral, termasuk yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
"Kita adalah negara perdagangan. Kita percaya terhadap multilateralisme. Kita tidak menyokong tindakan unilateral - sama ada ia datang dari Amerika Syarikat (AS) atau mana-mana negara lain.
“Kita mendukung keamanan, dan kita tegas dengan perkara ini walaupun pada hakikatnya kita adalah sebuah negara kecil," kata beliau menerusi ucaptama khasnya pada Forum Nikkei Medini Johor 2025, di sini, hari ini.
Anwar berkata Malaysia ketika ini sedang giat meneruskan dialog dengan AS untuk menyelesaikan isu-isu berterusan berkaitan kebimbangan perdagangan.
“Pagi ini, saya menerima mesej daripada Menteri MITI Zafrul mengenai beberapa siri mesyuarat dengan Setiausaha Perdagangan AS, dengan Wakil Perdagangan AS, memaklumkan rundingan berkaitan tarif berlangsung dengan amat baik,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata ASEAN kekal bersatu dalam mempertahankan kepentingan ekonominya, terutamanya dalam usaha menangani langkah-langkah perlindungan yang boleh menjejas rantaian bekalan dan aliran perdagangan serantau.
Pada masa yang sama, beliau berkata Amerika Syarikat masih kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia dalam beberapa sektor utama, termasuk elektrik dan elektronik (E&E).
"Sebanyak 60 peratus daripada eksport E&E kita adalah ke AS. Hubungan kami kekal kukuh walaupun terdapat perbezaan dalam dasar luar atau urusan perdagangan," kata beliau.
Anwar berkata Malaysia, sebagai sebahagian daripada ASEAN, akan bekerjasama rapat dengan rakan serantau, termasuk Jepun, China, dan Korea Selatan, untuk bertindak balas terhadap sebarang langkah yang boleh menjejaskan ekosistem perdagangan global.
Menurut beliau Malaysia sentiasa bersedia untuk mengukuhkan penglibatan global dan menegakkan keterbukaan ekonomi dalam menghadapi cabaran yang mendatang.
Sementara itu Anwar berkata walaupun pendirian dasar global yang berbeza, hubungan Malaysia dengan AS masih kekal kukuh dan penting.
"Hubungan kita dengan Amerika Syarikat mesti kekal kukuh. Ini bermakna kita mesti meneruskan penglibatan (dengan mereka),” kata beliau.
Beliau juga menjelaskan bahawa dasar luar dan perdagangan Malaysia berpandukan kepada kepentingan dan kedaulatan negara, bukan tekanan geopolitik.
"Tiada sesiapa pun yang boleh menentukan sama ada kita (terlalu mesra) dengan Jepun, atau China, atau Amerika Syarikat. Kita adalah negara perdagangan, negara perdagangan terbuka. Dan dasar mestilah untuk melindungi kepentingan negara ini dan rakyat kita," kata Perdana Menteri.
-- BERNAMA