BERITA TERKINI   SST buah import: Lebih banyak penjelasan akan dibuat bagi elak kekeliruan rakyat - PM Anwar | Lantikan Ketua Polis Negara masih belum dimuktamad - PM Anwar | Kerajaan tidak naikkan harga minyak (RON95) walaupun ketegangan berlaku antara Iran-Israel ketika ini - PM Anwar | E-waste bernilai lebih setengah bilion ringgit dirampas, 453 individu ditahan dalam Op Hazard 2.0 - Pengarah KDNKA Bukit Aman | 

Jangan Pandang Rendah Kepentingan JS-SEZ - PM Anwar

ISKANDAR PUTERI, 19 Jun (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai model luar biasa kerjasama rentas sempadan yang menjadi penanda aras baharu untuk perkongsian ekonomi dua hala.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerjasama kukuh antara Malaysia dan Singapura telah menyaksikan peningkatan minat antarabangsa yang besar terhadap JS-SEZ, terutama dari Jepun, China, Korea, dan Eropah, dan menjadikannya sebagai pelaburan global baharu yang dinamik.

"Jangan memandang rendah kepentingan SEZ Johor-Singapura. Ini bukan SEZ biasa.

“Sila bagi tahu saya jika ada zon ekonomi lain yang melibatkan dua negara, dibina sepenuhnya atas kepercayaan bersama dan semangat bekerja sebagai satu pasukan yang hebat. Itulah yang menjadikan JS-SEZ unik,” kata beliau semasa semasa majlis penutup acara Nikkei Forum Medini 2025, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata kemajuan pesat zon itu adalah hasil daripada dasar kerajaan yang jelas, kestabilan politik dan sokongan institusi seperti pihak berkuasa persekutuan dan negeri termasuk Pusat Fasilitasi Invest Malaysia yang membantu mempercepat kelulusan pelaburan.

"Setiap mesyuarat membawa permintaan baharu. Jika mereka tidak mendapat kelulusan di peringkat negeri, mereka datang kepada kami. Dan kami memudahkannya, bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi untuk kebaikan yang lebih besar. Sebab itu pusat ini menjadi contoh untuk diikuti oleh negeri dan agensi persekutuan lain," kata beliau.

Dalam pada itu, Anwar turut menghargai sumbangan besar Iskandar Investment Berhad (IIB), Khazanah Nasional dan kerajaan negeri Johor dalam merealisasikan JS-SEZ.

"Anda mungkin mempunyai sistem politik yang stabil, dasar yang jelas, idea yang bernas. Tetapi anda perlu mempunyai sokongan, komitmen daripada kedua-dua birokrat dan juga eksekutif dalam lapangan itu," kata beliau.

Mengimbas kembali penyertaan beliau di Forum Ekonomi Dunia di Davos baru-baru ini, Anwar berkata JS-SEZ menonjol bukan semata-mata disebabkan oleh insentif pelaburannya, tetapi kerana ia disokong oleh tadbir urus yang kukuh.

"Saya tidak berminat untuk memberikan insentif baharu, ia sudah mencukupi. Negara lain mungkin menawarkan pakej yang lebih murah. Tetapi apa yang mereka kurang ialah apa yang kita ada, kestabilan politik, gabungan yang kuat dengan majoriti dua pertiga, dan keberanian untuk mengakui dan membetulkan penyelewengan pada masa lalu seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa," kata beliau.

— BERNAMA