BERITA TERKINI   Anak syarikat Pansar Bhd, Perbena Emas Sdn Bhd memperoleh kontrak RM234.88 juta daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak untuk naik taraf Loji Rawatan Air Kaki Wong di Saratok | Semua pengimportan kenderaan elektrik CBU yang dipasang siap di luar negara adalah tertakluk kepada dua syarat utama bermula 1 Julai 2026 - MITI | MITI benarkan baki stok sedia ada dijual mengikut ketetapan dalam tempoh pengecualian khas sehingga habis | Dasar berkaitan kenderaan elektrik CBU dikembalikan kepada ketetapan sedia ada susulan penamatan tempoh pengecualian khas pada 31 Dis 2025 - MITI | Seorang lelaki berusia 70 tahun menjadi jemaah kedua meninggal dunia di Makkah akibat serangan jantung- Tabung Haji | 

MDEC Bantu Pacu Aspirasi Johor Jadi Hab Digital Asia - Fadzli

ISKANDAR PUTERI, 18 Jun -- Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi Johor untuk menjadi hab digital Asia melalui pelbagai inisiatif strategik dan kerjasama antara agensi.

Ketua Transformasi Digital MDEC Datuk Fadzli Abdul Wahit berkata pihaknya terlibat secara langsung dalam memudah cara pelaburan digital dan memperluas akses pasaran dengan kerjasama beberapa agensi seperti Invest Johor dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Kami memainkan peranan dalam menyelaras segala bentuk kelulusan, koordinasi dengan semua agensi kerajaan dan menyediakan bantuan sokongan menyeluruh dari aspek fasilitasi pelaburan serta akses pasaran,” katanya kepada Bernama selepas menjadi panel Nikkei Forum Medini 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata, dari aspek pembangunan bakat dan kemahiran, MDEC bekerjasama dengan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) termasuk pihak universiti dan industri, dengan matlamat untuk meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja dalam bidang ekonomi digital.

Katanya, kerjasama itu bertujuan meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan dalam bidang berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, teknologi blok rantai dan Revolusi Industri 4.0.

"MDEC turut bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam membangunkan infrastruktur digital dan aspek peraturan bagi memastikan ekosistem digital negeri ini berkembang secara menyeluruh serta mampan,” katanya.

Antara inisiatif yang disediakan termasuk geran inovasi, pelepasan cukai dan kemudahan dana pintar  khususnya kepada syarikat berasaskan Johor di bawah kerangka Malaysia Digital.

Bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Fadzli berkata MDEC akan menawarkan geran inovasi dan program pemadanan ekosistem bagi membolehkan pemain industri tempatan membangunkan bakat dan teknologi yang mampu menembusi pasaran eksport.

Beliau turut menegaskan bahawa Johor kini berada pada kedudukan terbaik untuk menjadi hab digital serantau berikutan kedudukan strategiknya berhampiran dengan Singapura, dan bakal mendapat manfaat besar daripada kerjasama dua hala melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Untuk menjadi peneraju di peringkat ASEAN, kita perlu bangunkan bakat, infrastruktur dan dana yang bersesuaian.

“Johor berada dalam posisi terbaik kerana ia boleh melengkapkan kekuatan Singapura dan sebaliknya,” katanya.

-- BERNAMA