BERITA TERKINI   Mahkamah Tinggi KL melepas tanpa membebaskan Najib daripada pertuduhan pengubahan wang haram babitkan dana SRC berjumlah RM27 juta | GST hanya dapat dilaksanakan sekiranya purata pendapatan rakyat cecah RM4,000 sebulan - PM Anwar | Anwar akui GST efisien dan telus namun belum sesuai dilaksanakan kerana nilai ambang pendapatan rakyat masih rendah | 

Pembaharuan Fiskal Akan Seimbang Kemampanan Fiskal, Ekuiti Sosial

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Inisiatif pembaharuan fiskal oleh kerajaan termasuk memperluas skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan merasionalisasikan subsidi elektrik dan diesel, bertujuan memastikan kemampanan fiskal di samping melindungi kumpulan berpendapatan rendah dan sektor penting.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican berkata antara elemen pembaharuan fiskal utama adalah Akta Tanggungjawab Fiskal yang menyasarkan untuk mengurangkan defisit fiskal kerajaan kepada 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 dan seterusnya kepada 3.0 peratus menjelang 2028.

Beliau berkata perkara yang menjadi tumpuan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini adalah SST,  dan cadangan yang diketengahkan adalah untuk melaksanakannya secara lebih bersasar, mencerminkan semangat perlindungan sosial seperti yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Bagaimana kita boleh mendekatinya secara lebih progresif? Kerajaan perlu menyediakan dana tambahan.

"Kita perlu meningkatkan asas cukai memandangkan nisbah cukai kepada KDNK adalah sekitar 12.5 peratus, antara yang terendah di rantau ini," katanya pada sesi panel bertajuk ‘Jaringan Keselamatan Sosial: Menjamin Masa Depan’ di Simposium Sasana 2025 anjuran Bank Negara Malaysia di sini hari ini.

Johan berkata masih terdapat peluang untuk meningkatkan asas cukai bagi kemampanan perbelanjaan serta memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perlindungan sosial dan infrastruktur asas.

 Sehubungan itu, beliau berkata asas cukai perlu ditingkatkan secara progresif, dengan kerajaan perlu memastikan barangan harian asas tidak dikenakan SST yang lebih tinggi.

Beliau berkata dari sudut kesaksamaan, dilihat tidak munasabah untuk memperuntukkan jumlah bantuan yang sama kepada individu berpendapatan rendah dan berpendapatan tinggi.

Sehubungan itu, kerajaan lazimnnya mengambil pendekatan yang lebih bersasar sebagai sebahagian daripada agenda pembaharuan yang lebih menyeluruh bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM10 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada  2024, dan pada tahun ini, peruntukan itu telah meningkat kepada RM13 bilion yang turut merangkumi satu lagi program bantuan iaitu Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Sementara itu, beliau berkata walaupun cukai kekayaan progresif dilihat menarik dari sudut intelektual dan sejajar dengan prinsip Islam seperti zakat, ia berdepan cabaran besar dari segi pentadbiran, penguatkuasaan dan ketersediaan data.

Beliau berkata cukai pendapatan dan cukai penggunaan lebih mudah untuk diuruskan berikutan transaksi yang berlaku secara berkala dan boleh dikesan manakala kekayaan lebih sukar untuk dinilai dan dianggarkan.

"Maksud saya, ia memang selaras dengan Islam memandangkan zakat, dalam satu aspek, berasaskan kepada kekayaan. Tetapi saya berpandangan cabaran sebenar -- dan ini bukan sahaja isu di Malaysia, malah isu global adalah -- pelaksanaan cukai kekayaan jauh lebih mencabar berbanding cukai pendapatan," katanya.

-- BERNAMA