BERITA TERKINI   Penapis, pengilang gula di Malaysia boleh mohon pengecualian cukai kepada Jabatan Kastam - Kementerian Kewangan | Tiada sebab harga gula bertapis dinaikkan kerana syarikat seperti MSM Malaysia Holdings Bhd terus terima insentif bulanan kerajaan bagi pastikan kestabilan bekalan, harga - Kementerian Kewangan | Gula bertapis atau gula putih kekal tidak dikenakan cukai di bawah semakan semula SST yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 - Kementerian Kewangan | Mahkamah Tinggi KL melepas tanpa membebaskan Najib daripada pertuduhan pengubahan wang haram babitkan dana SRC berjumlah RM27 juta | GST hanya dapat dilaksanakan sekiranya purata pendapatan rakyat cecah RM4,000 sebulan - PM Anwar | 

ConocoPhillips Beri Tumpuan Pelaburan Di Sabah, Kukuhkan Komitmen Terhadap Malaysia

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Syarikat minyak utama Amerika Syarikat, ConocoPhillips, memberikan tumpuan pelaburan di Sabah dan pada masa sama mengukuhkan komitmen jangka masa panjangnya terhadap Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Ryan Lance berkata pihaknya sedang berbincang dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengenai peluang pelaburan di negara ini.

“Kami akan melabur di Sabah pada masa akan datang dan sedang meneroka pelbagai peluang bersama Petronas,” katanya kepada Bernama selepas menyertai sesi Dialog Kepimpinan bertajuk “Gas and Liquefied Natural Gas (LNG): Investing for the Long Term” pada Persidangan Energy Asia 2025 di sini, hari ini.

Sesi dialog yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Kanan dan Ketua Strategi Tenaga S&P Global Dr Atul Arya itu turut menampilkan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas dan Maritim Petronas Datuk Adif Zulkifli.

Pada 30 April lepas, ConocoPhillips mengumumkan pihaknya telah menarik diri daripada pengoperasian medan minyak dan gas perairan laut dalam Salam-Patawali, juga dikenali sebagai Blok WL4-00, di luar pesisir Sarawak.

Medan itu, yang ditemui bersama Petronas pada 2018, dibangunkan mengikut usaha sama 50:50 bernilai kira-kira RM13.7 bilion (US$3.13 bilion).

Menerusi kenyataan ringkas, syarikat itu memaklumkan pengundurannya adalah sebahagian daripada “semakan strategi negara”, tanpa menjelaskan butiran lanjut.

Menurut laman web rasmi ConocoPhillips, syarikat itu terlibat dalam pelbagai peringkat aktiviti cari gali, pembangunan dan pengeluaran di seluruh Malaysia, dengan kepentingan dalam lima kontrak perkongsian pengeluaran (PSC).

Empat daripada PSC tersebut terletak di perairan Sabah iaitu Blok G, Blok J, Kluster Kebabangan dan Kluster Ubah yang diperoleh pada 2024.

Sementara itu, semasa dialog kepimpinan tersebut, Lance berkata ConocoPhillips kekal yakin dengan prospeknya dalam sektor gas asli cecair (LNG) dan bersedia membangunkan lebih banyak projek LNG.

Ketika menjawab pertanyaan berkenaan trend kontrak LNG jangka masa panjang yang semakin berkembang, beliau berkata pendekatan yang pelbagai sedang muncul, dengan beberapa perjanjian beberapa dekad ditandatangani di Qatar.

“Secara umumnya, pelanggan mahukan fleksibiliti, kontrak jangka masa pendek dengan fleksibiliti destinasi. Bagaimanapun masih belum jelas sama ada pemaju, pembeli atau penjual LNG akan menawarkan fleksibiliti seperti itu.

“Opsyen sedemikian akan menjadi faktor untuk mengakses peluang arbitraj merentas kawasan pengimport global,” katanya.

Apabila ditanya sama ada harga LNG menjadi penghalang untuk memasuki pasaran Asia, Lance berkata ConocoPhillips kekal dengan pandangan jangka masa panjang yang positif mengenai harga.

“Akan ada turun naik, seperti kelaziman dalam perniagaan ini, tetapi secara keseluruhan prospeknya kekal positif bagi jangka masa panjang,” katanya.

-- BERNAMA