BERITA TERKINI   Ringgit susut kepada 3.9620/9670 berbanding dolar AS daripada 3.9530/9585 pada Selasa | MIC kekal bersama Barisan Nasional, tidak sertai Perikatan susulan perubahan kepimpinan - Saravanan | JPA diarah rangka program tingkat profesionalisme PDRM, kebajikan jadi keutamaan termasuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi - PM Anwar | Kerajaan beri jaminan tidak campur tangan dalam tugas PDRM, akan beri dorongan untuk bertindak terus dengan berani - PM Anwar | Perolehan KDN yang dibekukan sebelum ini kini dilepaskan semula - PM Anwar | 

Ringgit Dibuka Sedikit Tinggi Berbanding Dolar AS, Sentimen Kekal Waspada

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu apabila para pelabur masih berhati-hati menjelang keputusan dasar monetari Amerika Syarikat (AS) yang dijangka diumumkan malam ini, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.2360/2565 berbanding dolar AS daripada 4.2390/2475 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata para pelabur akan terus berwaspada dan memantau dengan teliti keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC).

Beliau berkata ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat mungkin mempengaruhi FOMC untuk membuat keputusan bagi mengurangkan kadar faedah dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.

“Nampaknya perbincangan mengenai pengurangan kadar faedah telah dicabar oleh perkembangan terkini di Asia Barat.

“Ini memandangkan risiko kadar inflasi yang lebih tinggi boleh mendorong Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk lebih berhati-hati dalam melaksanakan pengurangan Kadar Dana Persekutuan selanjutnya tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9133/9276 daripada 2.9271/9332  ketika ditutup semalam, dan naik berbanding pound British kepada 5.6885/7161 daripada 5.7413/7528.

Mata wang domestik juga lebih stabil berbanding euro kepada 4.8638/8873 daripada 4.8986/9084.

Ringgit turut meningkat berbanding mata wang negara ASEAN.

Unit domestik meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 260.0/261.4 daripada 260.2/260.8 semalam, dan lebih kukuh berbanding peso Filipina kepada 7.47/7.51 daripada 7.48/7.49.

Mata wang tempatan lebih kukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2924/3088 daripada 3.3068/3137 ketika ditutup semalam namun susut berbanding baht Thailand kepada 12.9875/13.0592 daripada 13.0114/0443.

-- BERNAMA