BERITA TERKINI   Syarikat berpangkalan di Singapura telah melabur lebih S$5.5 bilion ke Johor sejak pemeteraian MoU JS-SEZ -- TPM Singapura Gan | Kerajaan menimbang meningkatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura bagi membantu lebih banyak PKS mendapat peluang perniagaan rentas sempadan – Tengku Zafrul | Semua projek pembuatan bagi industri tidak sensitif dalam sektor ekonomi yang dikenal pasti di JS-SEZ akan diberikan kelulusan pantas untuk Lesen Pengilangan (ML) dalam tempoh 7 hari bekerja - Tengku Zafrul | Tambahan RM200 juta yang diperuntukkan kepada CoSIF di bawah Belanjawan 2026 membolehkan pelaburan bersama dalam projek berimpak tinggi oleh PKS Malaysia di JS-SEZ - Tengku Zafrul | Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan pastikan kes pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut ditikam disiasat secara telus dan adil - Fadhlina  | 

Petronas LNG Terus Urus Ketidaktentuan Pasaran, Pastikan Penghantaran Dipercayai - Ceo

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Petronas LNG Ltd (PLL) akan terus menguruskan ketidaktentuan pasaran jangka masa pendek melalui sistem operasi dan proses pengurusan risiko yang kukuh untuk memastikan penghantaran gas asli cecair (LNG) boleh dipercayai kepada pembelinya.

Ketua Pegawai Eksekutif Petronas LNG Ezran Mahadzir berkata pihaknya juga memberi penekanan kepada kerjasama jangka masa panjang dengan pembeli bagi menghadapi kitaran ini serta membantu kedua-dua pihak mengurus risiko dan mengekalkan keterjaminan bekalan.

“Sudah tentu, dari segi harga, kami perlu memastikan kami mempunyai proses pengurusan risiko yang betul. Dalam kontrak jangka masa panjang, ada masa harga menjadi rendah dan ada ketika harga akan tinggi,” katanya kepada Bernama di luar Persidangan Energy Asia 2025 di sini, hari ini.

Beliau berkata syarikat minyak negara mengekalkan hubungan kukuh antara penjual dan pembeli, dan pendekatan kerjasama itu membolehkan kedua-dua pihak menguruskan risiko dan mendukung keterjaminan bekalan terutamanya ketika tempoh ketidaktentuan.

Petronas LNG menghasilkan purata 35 juta hingga 40 juta tan setahun (MTPA) LNG dengan operasi teras berpangkalan di kompleks LNG di Bintulu, Sarawak, katanya.

Bagi jangka masa panjang, Ezran berkata Petronas LNG yakin dapat mengekalkan permintaan global di samping terus melabur dalam portfolio tenaga yang kukuh dengan tumpuan untuk meneruskan reputasi sebagai pembekal tenaga yang boleh dipercayai.

Petronas LNG mengukuhkan kedudukan sebagai rakan LNG dipercayai di Asia Tenggara dengan tumpuan jelas untuk menyediakan penyelesaian tenaga yang boleh dipercayai, fleksibel dan mampan bagi menyokong peralihan tenaga dan matlamat pembangunan jangka masa panjang rantau ini, katanya.

-- BERNAMA