Petronas Kenal Pasti Tujuh Tapak CCS, Cari Rakan Kongsi Projek Simpanan Karbon
KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sedang mencari rakan kongsi tempatan dan antarabangsa merentasi rantaian bekalan pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) bagi mengukuhkan kedudukannya dalam segmen itu, selepas mengenal pasti sehingga tujuh tapak CCS yang berpotensi di Malaysia.
Pengurus Besar Kanan Jabatan Pengurusan Karbon Petronas Emry Hisham Yusoff berkata kerjasama itu penting, terutamanya dalam membangunkan terminal infrastruktur CCS dan mendapatkan pembiayaan.
“Kami sedang membangunkan terminal darat di Pelabuhan Kuantan dan sedang mencari rakan kongsi tempatan dan antarabangsa. Keupayaan tertentu seperti infrastruktur terminal, tidak tersedia dalam kalangan pemain tempatan.
“Pada peringkat ini, Petronas sedang melaksanakan 100 peratus kerja di terminal Kuantan, sementara kami terus mengenal pasti rakan kongsi yang sesuai,” katanya ketika dialog media eksklusif CCS yang dihoskan oleh Petronas hari ini.
Sesi itu diadakan bersempena Persidangan Energy Asia 2025.
Petronas juga bekerjasama rapat dengan pemain global seperti TotalEnergies, Mitsui & Co, dan konsortium Jepun yang terdiri daripada JGC Holdings dan K Line, yang bekerjasama dengan pengeluar dari Jepun untuk meneroka peluang penyimpanan CCS di Malaysia.
Dari segi pembiayaan, Emry menjelaskan bahawa projek CCS tidak selalunya layak sebagai pelaburan ‘hijau’ kerana ia melibatkan pengendalian pelepasan karbon dioksida (CO₂).
Katanya, walaupun matlamatnya ialah mengurangkan kesan iklim, proses itu tidak selalu diklasifikasikan sebagai mesra alam.
Bagaimanapun, beliau berkata Singapura telah memperkenalkan rangka kerja bagi pembiayaan peralihan, dan CCS layak di bawah rangka kerja itu.
“Ini menunjukkan bahawa kita tidak boleh melakukannya secara bersendirian.
“Kami memerlukan rakan kongsi merentasi setiap peringkat rantaian nilai yang sedang kami usahakan,” katanya.
Emry turut mendedahkan bahawa Petronas telah mengenal pasti sehingga tujuh tapak CCS yang berpotensi di seluruh negara, selain tiga tapak sedia ada, iaitu dua di Semenanjung Malaysia dan satu di Malaysia Timur.
“Satu daripada dua tapak di Semenanjung Malaysia itu terletak di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan.
“Kami berhasrat untuk menyediakan penyelesaian penyahkarbonan kepada perindustrian di kawasan itu melalui CCS, menyokong Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) di bawah komitmen iklim Malaysia,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa tapak M1, yang akan berperanan sebagai lokasi penyimpanan bagi pemerangkapan CO₂ dari medan gas Kasawari, iaitu pembangunan gas asli utama yang dikaitkan dengan portfolio LNG Petronas.
Projek CCS Kasawari akan mengendalikan pelepasan CO₂ yang menyumbang sehingga 20 peratus daripada pengeluaran medan gas itu.
Sehingga kini, Petronas telah melabur sehingga RM5 bilion dalam inisiatif CCS, menekankan komitmennya untuk membina ekosistem yang teguh untuk penyimpanan CO₂ jangka panjang.
Syarikat itu menyasarkan kapasiti CCS minimum sebanyak 80 juta tan setahun, meliputi kedua-dua pelepasannya dan keperluan domestik Malaysia.
“Kami percaya bahawa potensi melangkaui angka tersebut. Kami hanya memerlukan lebih banyak masa untuk mengkaji kematangannya dan memastikan kemampanan tapak penyimpanan itu,” katanya.
— BERNAMA