BERITA TERKINI   Rizab BNM berjumlah US$124.3 bilion pada 15 Dis, mencukupi untuk membiayai 4.8 bulan import barangan dan perkhidmatan | Konflik Kemboja-Thailand: ASEAN mesti lakukan apa sahaja yang perlu untuk kekalkan keamanan dan kestabilan serantau - Mohamad Hasan | Konflik Kemboja-Thailand: Pengerusi ASEAN berduka atas korban awam, konflik berpanjangan - Mohamad Hasan | Pengerusi ASEAN gesa Kemboja, Thailand laksana Perjanjian Damai Kuala Lumpur sepenuhnya dan berkesan - Mohamad Hasan | Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN mengenai situasi terkini antara Kemboja dan Thailand di Kuala Lumpur bermula pada 12.14 tengah hari ini. | 

Shell Bakal Tambah Pelaburan Melebihi RM9 Bilion Di Malaysia - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Shell akan menambah pelaburan melebihi RM9 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang di Malaysia sekali gus bakal mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata hasrat itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Global Shell Wael Sawan semasa mengunjungi beliau hari ini.

“Pelaburan ini adalah manifestasi keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar ekonomi kita yang teguh dan kepimpinan yang jelas. Insya-Allah, Malaysia mampu terus melakar masa depan yang makmur dan berdaya saing,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di  laman X beliau, hari ini.

Semasa pertemuan tersebut, beliau berkata Sawan juga menyuarakan keyakinan syarikat itu terhadap arah hala tuju negara.

Anwar berkata Shell bukan sekadar nama besar dalam dunia tenaga, tetapi telah menjadi rakan pelaburan utama negara dan sebahagian daripada perjalanan ekonomi Malaysia sejak sekian lama. 

“Saya manfaatkan kesempatan ini untuk berkongsi pendekatan strategik Kerajaan MADANI dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang stabil, mampan dan berdaya tahan bukan hanya untuk hari ini, tetapi demi generasi mendatang,” kata beliau.

Terdahulu, Sawan dipetik sebagai berkata permintaan gas asli cecair (LNG) di Asia Tenggara terutamanya Malaysia, Brunei, Filipina dan Thailand dijangka meningkat dengan stabil bermula sekarang hingga 2035.

Beliau berkata lonjakan permintaan tenaga, didorong oleh pertumbuhan pusat data dan kecerdasan buatan, boleh dipenuhi dengan LNG sebagai sumber tenaga yang boleh dipercayai, terutamanya ketika berlakunya ketidaktentuan geopolitik.

-- BERNAMA