BSN Mikro MADANI: Inisiatif Inklusif Perkasa Usahawan Mikro Malaysia
KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Pelancaran Karnival Bank Simpanan Nasional (BSN) Mikro MADANI Zon Pantai Timur di Pasar Payang, Kuala Terengganu merupakan satu inisiatif inklusif dan berfokus komuniti yang bertujuan memperkasa usahawan mikro serta menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan.
Ketua Eksekutif BSN Jay Khairil berkata karnival tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen jangka panjang bank tersebut dalam memperkasa pembangunan ekonomi mikro di Malaysia.
“Sehingga kini, BSN telah menyalurkan lebih RM5 bilion pembiayaan mikro kepada hampir 170,000 usahawan mikro di seluruh negara.
“Ini bukti jelas bahawa kami bukan sahaja menyokong pertumbuhan perniagaan, tetapi juga membina daya tahan komuniti,” katanya menerusi satu kenyataan sempena pelancaran karnival itu, baru-baru ini.
Majlis pelancaran karnival itu disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Terengganu Datuk Jusman Ibrahim sebagai simbol sokongan padu pihak berkuasa tempatan terhadap pembangunan keusahawanan mikro di peringkat komuniti.
Jay berkata karnival itu berfungsi sebagai platform sehenti yang menghimpunkan usahawan mikro, agensi kerajaan, institusi kewangan, dan rakan industri untuk berkongsi ilmu, memperluas jaringan selain mempromosi perkhidmatan serta produk tempatan.
Menurutnya, pelbagai perkhidmatan seperti kaunseling kewangan, penstrukturan semula pembiayaan, serta program pembiayaan baharu termasuk Skim Mikro MADANI turut diperkenalkan.
“Antara inisiatif utama yang diuar-uarkan ketika karnival berlangsung adalah BSN Micro Community, satu ekosistem menyeluruh merangkumi pembiayaan, pembangunan kapasiti, pemasaran dan pendigitalan.
“Inisiatif ini menyaksikan impak ketara termasuk lebih 4,000 usahawan mikro dinaik taraf menjadi PKS, 14,800 peluang pekerjaan diwujudkan, lebih 13,000 perniagaan mencatat peningkatan jualan dan 1,400 aset perniagaan diperoleh dan dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata karnival tersebut juga mengetengahkan padanan perniagaan melalui kerjasama strategik seperti Program Modern Trade Ready bersama AEON Malaysia dan peluang penembusan pasaran digital melalui platform seperti TikTok Shop.
“Sempena majlis itu juga turut berlangsung sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara BSN dan beberapa rakan strategik termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), TikTok Shop Malaysia, SME Bank dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dengan sokongan Jabatan Penjara Malaysia.
“Kerjasama ini bertujuan memperkukuh ekosistem keusahawanan mikro, memperluas capaian kepada golongan terkesan, serta menyokong agenda kewangan sosial Islam seperti Program iTEKAD,” katanya.
Dalam pada itu, Jay berkata, bagi memperluas impak sosial, BSN bersama AKPK menyokong inisiatif Pusat Komuniti Tenunan Songket, Penjara Negeri Terengganu melalui program iTekad BSN MulaNiaga di bawah rangka kerja Islamic Social Finance (ISF).
“BSN berbangga menjadi sebahagian daripada inisiatif ini yang membuka peluang kepada individu dalam fasa pemulihan untuk berubah melalui kursus kemahiran hidup, khususnya dalam bidang Tenun Songket.
“Program selama 18 bulan ini menyasarkan 20 peserta dengan sokongan bahan mentah, peralatan, latihan keusahawanan, literasi kewangan serta geran permulaan RM10,000 seorang,” katanya.
Beliau berkata, matlamat BSN adalah untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan, dengan terus menyokong komuniti dari pelbagai latar belakang, termasuk golongan rentan, dalam usaha membina kehidupan yang lebih baik dan berdaya saing.
-- BERNAMA