Peluasan SST, Peluang Strategik Untuk Kesiapsiagaan Perniagaan - MAICCI
KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 Julai 2025, dilihat sebagai langkah sesuai dan strategik memberikan perniagaan, terutamanya syarikat diterajui wanita, kejelasan dan ruang untuk memperkukuh operasi dan membina daya tahan jangka panjang.
Ketua Unit Sayap Wanita Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) Dr Hemala AP Sivam berkata keputusan kerajaan itu mencerminkan pendekatan inklusif dan responsif terhadap penggubalan dasar yang mengimbangi matlamat fiskal dengan keperluan praktikal komuniti perniagaan.
“Langkah ini membolehkan perniagaan, terutamanya yang diterajui wanita, menilai semula operasi mereka, meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan menyusun semula strategi bagi memenuhi keperluan masa depan,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.
Hemala, yang juga Pengarah Eksekutif syarikat pengeluar makanan, APS Manja Sdn Bhd berkata semakan semula rangka kerja SST menawarkan peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pengeluar serta usahawan wanita untuk memperkukuh keupayaan dalaman dan bersedia menghadapi perubahan peraturan.
“Ini merupakan peluang untuk mengoptimumkan aliran tunai, melabur dalam automasi dan menggunakan mekanisme digital.
“Bagi usahawan wanita yang mengimbangi tanggungjawab ekonomi dan penjagaan keluarga, tempoh ini menawarkan kejelasan dari segi dasar dan ruang yang mereka perlukan untuk berkembang secara mampan,” katanya.
Kerajaan akan melaksanakan semakan kadar Cukai Jualan (CJ) dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (CP) mulai 1 Julai ini untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kadar CJ kekal tidak dinaikkan ke atas barangan keperluan asas yang digunakan oleh rakyat dan kadar CJ sebanyak lima peratus atau 10 peratus dikenakan ke atas barangan pilihan dan bukan keperluan asas.
Skop CP diperluas kepada perkhidmatan baharu seperti sewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Peluasan ini disertakan dengan pengecualian terpilih untuk mengelak cukai berganda serta memastikan perkhidmatan keperluan tertentu untuk warganegara Malaysia tidak dikenakan cukai.
Hemala menggesa perniagaan untuk memanfaatkan tempoh ini bagi memperkukuh mekanisme pematuhan dan berhubung dengan kementerian berkaitan, dewan perniagaan dan rangkaian keusahawanan bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan.
“Ini bukan sekadar semakan cukai malah pemangkin kepada dialog, inovasi dan transformasi strategik. Kami menyokong usaha kerajaan untuk memastikan rangka kerja SST kekal telus, adil dan sejajar dengan matlamat pembangunan negara,” katanya.
Hemala turut menekankan kepentingan dasar inklusif yang menangani cabaran dihadapi oleh usahawan wanita terutamanya di kawasan luar bandar dan yang kurang mendapat perkhidmatan.
“Dengan sokongan bersasar, akses digital dan inisiatif pembinaan keupayaan, syarikat yang diterajui wanita boleh menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA