KPJ Healthcare Lancar AiNNOVATION 2025, Raikan Penjagaan Kesihatan Masa Depan Yang Inklusif
KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- KPJ Healthcare Berhad hari ini melancarkan AiNNOVATION 2025, yang merupakan pameran selama empat hari di pusat beli-belah 1 Utama, memfokuskan kepada inovasi penjagaan kesihatan dan keterlibatan kesejahteraan.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan berkata program itu, mencerminkan bagaimana kumpulan terebut menyesuaikan diri dengan keperluan semasa, dengan mengintegrasikan inovasi dalam setiap aspek operasinya.
“AiNNOVATION bukan sekadar suatu acara. Ia memberikan gambaran mengenai bagaimana KPJ Healthcare berkembang mengikut peredaran zaman, melabur dalam keupayaan digital, membangunkan bakat masa depan dan menyerap inovasi dalam cara kami bekerja dan memberi perkhidmatan.
“Kami percaya bahawa inovasi perlu mempunyai tujuan jelas. Ia mesti membawa kepada hasil lebih baik untuk pesakit, peralatan lebih baik untuk pengamal klinikal dan akses yang lebih baik untuk komuniti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Acara itu dirasmikan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin yang mewakili Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Bertemakan “Mendorong Inovasi dan Inklusiviti Melalui Kecerdasan Buatan (AI)”, acara itu menonjolkan komitmen KPJ Healthcare untuk meningkatkan penjagaan pesakit melalui teknologi selaras dengan visinya iaitu Care for Life.
Acara ini menampilkan Patient Journey Booth yang menawarkan pengalaman secara interaktif, menunjukkan bagaimana teknologi menyokong setiap peringkat penjagaan, daripada sebelum kemasukan ke hospital sehinggalah ke fasa pemulihan.
Antara tarikan utama termasuklah diagnostik bantuan AI, pemulihan menggunakan robotik, rekod kesihatan digital dan sistem hospital pintar.
Terdapat juga aktiviti lain yang turut diadakan termasuklah saringan kesihatan percuma, sesi Zumba, permainan kesihatan, cabaran robotik untuk kanak-kanak, demonstrasi memasak serta pemberian hadiah.
“Pameran ini juga melibatkan penyertaan daripada rangkaian hospital KPJ, Universiti KPJ Healthcare, Pusat Penyelidikan & Inovasi KPJ serta pasukan Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2025, yang menekankan pendekatan bersepadu Kumpulan dalam menyediakan penjagaan kesihatan yang bersedia untuk masa depan,” katanya.
AiNNOVATION 2025 dibuka kepada orang ramai dari 12 hingga 15 Jun di aras bawah, Centre Court, pusat beli-belah 1 Utama. Kemasukan adalah percuma.
-- BERNAMA