Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Susulan Harga Minyak Mentah, Minyak Kacang Soya Lebih Tinggi
Oleh Zufazlin Baharuddin & K Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) kebanyakannya ditutup lebih tinggi hari ini disokong oleh harga minyak mentah yang lebih kukuh sewaktu ketegangan memuncak di Timur Tengah.
Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa memberitahu Bernama, harga minyak mentah Brent melonjak lebih 8.0 peratus pada awal hari dagangan berikutan para peniaga mengambil kira potensi risiko bekalan akibat daripada konflik yang berlaku di rantau tersebut.
Selain itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata niaga hadapan MSM turut meningkat seiring dengan kenaikan harga minyak kacang soya.
“Kami melihat paras sokongan pada RM3,800 setiap tan dan paras rintangan pada RM4,000 setiap tan,” kata Ng.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Jun kekal tidak berubah pada RM3,847 setiap tan, Julai 2025 naik sebanyak RM82 kepada RM3,925 setiap tan dan Ogos 2025 berkembang sebanyak RM88 kepada RM3,927 setiap tan.
Kontrak September 2025 pula bertambah sebanyak RM86 kepada RM3,922 setiap tan, Oktober 2025 meningkat sebanyak RM78 kepada RM3,914 setiap tan dan November 2025 menokok RM68 kepada RM3,910 setiap tan.
Jumlah dagangan pula melonjak kepada 113,276 lot daripada 55,636 lot pada Khamis manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 244,432 kontrak daripada 242,900 kontrak sebelumnya.
Harga fizikal MSM bagi Jun Selatan naik sebanyak RM60 kepada RM3,960 setiap tan.
-- BERNAMA