New Energy Asia Bakal Pacu Infrastruktur Pengecasan EV Di Malaysia - TPM Fadillah
KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- New Energy Asia Sdn Bhd, usaha sama (JV) yang baru ditubuhkan antara HICOM Engineering Sdn Bhd (HESB) dan Hangzhou Flash Charging New Energy Co Ltd. (HFC) China boleh mempercepat pembangunan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerjasama berkenaan dijangka membantu Malaysia untuk mencapai matlamat menempatkan sebanyak 10,000 stesen pengecasan EV menjelang akhir tahun ini
“Setakat ini, kita telah mencapai lebih 4,000 (stesen pengecasan EV), dan diharapkan kita boleh mencapai sasaran (10,000) melalui lebih banyak syarikat JV seperti ini di Malaysia.
“Langkah berkenaan juga akan membantu meningkatkan jualan kereta EV di negara ini dan mencapai sasaran dari segi stesen pengecasan termasuk pemuliharaan alam sekitar,” katanya selepas menyaksikan pelancaran JV berkenaan di sini hari ini.
HESB adalah anak syarikat DRB-HICOM Bhd manakala HFC merupakan anak syarikat Lotus Technology Inc., syarikat yang terlibat terutamanya dalam reka bentuk, pembangunan, pembuatan dan penjualan EV mewah.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata JV berkenaan turut sejajar dengan inisiatif kerajaan untuk mencapai pelepasan sifar menjelang 2050.
Sementara itu, HESB dalam kenyataan berkata kerjasama strategik dengan HFC menggabungkan kepakaran industri, warisan jenama yang kukuh serta keupayaan operasi kedua-dua pihak untuk menyediakan penyelesaian pengecasan EV yang boleh dipercayai dan cekap di seluruh Malaysia dan rantau ASEAN.
Menurutnya New Energy Asia akan mengedarkan pelbagai peralatan pengecasan EV yang dihasilkan oleh HFC pada masa ini serta membekalkan sistem storan tenaga termaju bagi menyokong permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian tenaga rumah dan komersial yang mampan.
“Peralatan pengecasan EV itu termasuk pengecas berjenama Lotus berkualiti tinggi terutamanya pengecas arus terus (DC) semua dalam satu penyejukan cecair berkapasiti 450 kilowatt (kW) canggih, yang berupaya mengecas model Lotus Emeya daripada 10 peratus kepada 80 peratus dalam tempoh 14 minit.
“Barisan produknya turut menyediakan pelbagai tawaran lain seperti pengecas arus ulang-alik (AC) pintar tujuh kW, 11 kW dan 22 kW serta pengecas DC penyejukan udara 30 hingga 240 kW dan pengecas DC penyejukan cecair 300 hingga 450 kW,” kata HESB.
Menurutnya pengecas AC tujuh kW, 11 kW dan 22 kW boleh disesuaikan mengikut keperluan pengguna.
-- BERNAMA