BERITA TERKINI   Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | Paramount Corporation beli tanah komersial pegangan bebas di Kuala Lumpur daripada IOI Properties dengan harga RM257.88 juta | Unit Solarvest raih kontrak EPCC untuk bangunkan projek LSS5+ di Padang Siding, Perlis bernilai RM89.5 juta | 

Rafizi Zahir Ucapan Terima Kasih Kepada Individu Bantu Usahakan Inisiatif Ekonomi

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli mengambil kesempatan menzahirkan ucapan terima kasih kepada beberapa individu yang banyak membantu beliau dalam mengusahakan inisiatif ekonomi di bawah Kementerian Ekonomi.

Beliau berkata mereka merupakan pegawai-pegawai dasar dalam pasukannya yang dipujuk beliau untuk meninggalkan kerjaya masing-masing sebelum ini dan berkhidmat di pejabatnya.

“Daripada cili kepada semikonduktor, ekosistem syarikat pemula, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), gaji progresif sehinggalah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), mereka banyak menterjemah idea-idea saya sehingga mula boleh dilaksanakan.

“Kini mereka akan kembali ke bidang masing-masing,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Katanya pegawai-pegawai tersebut ialah Dr Azraai Bahari Nasruddin, Benjamin Quek, James Chai, Ismat Qayyum dan Haqimi Zamri.

“Saya banyak belajar daripada mereka, mungkin lebih daripada mereka belajar daripada saya,” katanya. 

Dalam pada itu, Rafizi berkata beliau memasuki pejabatnya semalam dan hari ini untuk urusan-urusan terakhir, termasuk mengemas pejabat.

Pada 28 Mei lepas, Rafizi meletak jawatan daripada Kabinet berkuat kuasa 17 Jun selepas tewas pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri memaklumkan telah menerima permohonan cuti serta pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada Rafizi dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju meluluskan cuti manakala sebarang keputusan lanjut dimaklumkan kemudian.

-- BERNAMA