BERITA TERKINI   Penapis, pengilang gula di Malaysia boleh mohon pengecualian cukai kepada Jabatan Kastam - Kementerian Kewangan | Tiada sebab harga gula bertapis dinaikkan kerana syarikat seperti MSM Malaysia Holdings Bhd terus terima insentif bulanan kerajaan bagi pastikan kestabilan bekalan, harga - Kementerian Kewangan | Gula bertapis atau gula putih kekal tidak dikenakan cukai di bawah semakan semula SST yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 - Kementerian Kewangan | Mahkamah Tinggi KL melepas tanpa membebaskan Najib daripada pertuduhan pengubahan wang haram babitkan dana SRC berjumlah RM27 juta | GST hanya dapat dilaksanakan sekiranya purata pendapatan rakyat cecah RM4,000 sebulan - PM Anwar | 

Kemahiran Pelaporan Berita Ekonomi Penting Ketika Tarif Kuasai Tajuk Utama Dunia

Oleh Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Kalangan wartawan kini semakin sedar pengetahuan dalam laporan perniagaan dan ekonomi adalah komponen penting ketika melaporkan isu domestik, serantau dan antarabangsa secara berkesan, apatah lagi ketika isu tarif kini menguasai tajuk utama dunia.

Pengumuman “Hari Pembebasan” oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada 2 April lepas adalah sesuatu yang mengejutkan, apabila pentadbirannya ingin mengenakan tarif ke atas 168 negara, termasuk Malaysia.

Tindakan itu mencetuskan liputan mengenai tarif yang hampir eksklusif di peringkat antarabangsa sekali gus membesarkan lagi api perang perdagangan yang dimulakan Trump.

Tidak dapat dinafikan, para wartawan dari seluruh dunia berpusu-pusu melakukan carian di Google, mencari maklumat mengenai tarif, yang sebenarnya adalah cukai atau levi dikenakan ke atas barangan import ke AS.

Ironinya, ahli politik Amerika yang menyokong dasar Trump juga tidak sepenuhnya memahami tarif itu dan cara tarif boleh meningkatkan harga barangan yang akhirnya perlu ditanggung oleh pengguna AS.

Seandainya pengumuman pengenaan tarif secara mengejut itu belum cukup, kekeliruan terus ditambah dengan perubahan pendirian pentadbiran Trump dari hari ke hari.

Isu tarif itu bertambah kusut dengan penangguhan selama 90 hari, keputusan Mahkamah Persekutuan AS yang mengisytiharkan tarif tersebut sebagai tidak sah, mahkamah rayuan yang kemudian mengembalikannya, serta ketegangan perdagangan yang reda dan kembali tercetus antara dua kuasa besar ekonomi dunia, AS dan China.

Sudah pasti, semua ini terlalu banyak yang perlu dihadam oleh kalangan wartawan di Malaysia dan seluruh dunia, seperti kata pepatah, wartawan boleh menjadi serba boleh namun tidak mahir sepenuhnya dalam satu bidang.

Sering kali juga, wartawan diminta melakukan pelbagai tugasan.

Dalam arena kewartawanan, tiada masa untuk merungut atau boleh merungut, kerana menjadi kewajipan kita menyampaikan laporan kepada dunia bukan sahaja setiap hari malah perlu dibuat mengikut masa sebenar.

Ini memerlukan wartawan yang membuat liputan pengkhususan lain supaya mengetahui dan menyelami maksud tarif, kesannya terhadap ekonomi dan perniagaan, serta menguraikannya mengikut terma yang lebih mudah supaya orang ramai memahami kesan tarif terhadap kehidupan seharian warga dunia.

Wartawan perniagaan veteran dan bekas Editor Malaysian Business serta Focus Malaysia, Charles Raj, berpandangan pengetahuan untuk pelaporan berita ekonomi dan perniagaan sangat penting, memandangkan hampir setiap bidang pengkhususan kewartawanan masa kini melibatkan elemen tersebut.

Sebagai contoh, wartawan jenayah dan mahkamah perlu biasa dengan aspek perniagaan dan kewangan apabila melaporkan kes jenayah komersial dan kes mahkamah berkaitan kewangan dan perniagaan, kata Charles yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam dunia kewartawanan dan kini berperanan sebagai perunding media.

Malah, wartawan politik juga perlu memahami data ekonomi seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau angka pertumbuhan, statistik perdagangan dan kewangan, serta pelaburan, katanya kepada Bernama menjelang sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.

HAWANA 2025, mengangkatkan tema ‘Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika’, akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu, 14 Jun ini.

 

Pengkhususan Kewartawanan Perniagaan Mudahkan Kerjaya Temui Jejak Baharu

 

Sungguhpun begitu, ada sinar harapan di sebalik semua cabaran itu.

“Seorang wartawan perniagaan mempunyai laluan lebih pantas dalam pengkhususan ekonomi, kewangan, pasaran, komoditi dan korporat, yang membuka akses lebih luas kepada sumber yang berpengaruh,” kata Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Yong Soo Heong.

“Kemahiran menganalisis dan pemahaman mengenai perniagaan serta industri melalui laporan berita perniagaan menjadikan peralihan kerjaya kepada komunikasi, perhubungan pelabur, perhubungan awam kewangan, bahkan peranan dalam strategi korporat, lebih mudah dicapai,” kata Yong.

Bekas Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang berpengalaman selama 42 tahun dalam kewartawanan, dengan pembabitan selama 30 tahun dalam kewartawanan perniagaan, sambil berseloroh berkata “kepakaran dalam pengkhususan itu turut menyumbang kepada gaji yang lebih tinggi.”

Sebahagian daripada wartawan perniagaan beralih kepada peranan kepimpinan editorial yang lebih tinggi atau pekerjaan yang mempunyai kaitan global memandangkan berita perniagaan, misalnya isu tarif yang sedang berlaku, mempunyai dimensi antarabangsa yang besar, katanya.

Meninjau kembali Krisis Kewangan Asia 1998, yang menyaksikan Malaysia melaksanakan kawalan modal untuk melindungi ringgit daripada spekulasi pasaran yang keterlaluan, boleh dikatakan sebagai peristiwa penting dalam kalangan wartawan pada era berkenaan.

Hakikatnya, krisis itu memberi kesan bukan sahaja kepada kehidupan di Malaysia malah juga di peringkat serantau, mengheret wartawan berita am yang lebih mahir dalam melaporkan berita politik, pendidikan, sukan, kesihatan dan kemalangan untuk turut membuat liputan berita perniagaan dan ekonomi memandangkan isu itu menjadi berita utama saban hari.

Pada mulanya, krisis itu hanya menjadi tanggungjawab utama wartawan perniagaan yang membuat liputan pasaran untuk menghasilkan berita ekonomi mengenai cabaran kewangan, pemberhentian kerja sementara, penutupan syarikat dan bantuan kewangan untuk mengatasi krisis kewangan negara.

Peristiwa itu sememangnya menjadi satu krisis memandangkan harga dan kos yang lebih tinggi merupakan kesan buruk daripada penyusutan ringgit kepada paras terendah RM5.20 pada satu ketika berbanding dolar AS di pasaran pertukaran asing (forex), yang menjejaskan semua pihak.

Seseorang itu tidak lagi boleh cuba-cuba menulis berita perbankan dan kewangan tanpa mengambil tahu bahawa apabila nilai angka ringgit meningkat berbanding mata wang lain secara perbandingan, ini bererti nilai mata wang tempatan itu telah menyusut dan bukan sebaliknya.

Seperti laporan mahkamah, laporan berita ekonomi juga boleh menjadi agak rumit, memerlukan pemahaman tertentu mengenai dasar ekonomi dan perdagangan.

Mereka yang membuat liputan Perdana Menteri perlu berpengetahuan luas mengenai kaedah pasaran berfungsi, selok-belok pasaran forex, cara mata wang diniagakan, naik turun kadar faedah, pengambilalihan dan penggabungan, terbitan bon dan sukuk serta data KDNK dan inflasi, yang akhirnya menjadi isu sensitif dari segi politik.

Ketika pasaran saham bergolak dan syarikat ditutup, wartawan Malaysia menyampaikan berita kepada rakyat mengenai pendekatan yang dilaksanakan kerajaan untuk mengurangkan impak krisis ekonomi dan memberikan keyakinan kepada orang ramai.

Jelas bahawa kos yang tinggi berikutan import yang lebih mahal memberi kesan kepada kehidupan seharian rakyat Malaysia sekali gus menyebabkan laporan harian mengenai isu ini menjadi kebiasaan.

Sebagai contoh, ibu bapa yang membiayai pendidikan anak-anak di luar negara secara tiba-tiba mengalami kesulitan kewangan apabila terpaksa membayar hampir dua kali ganda yuran pengajian dalam masa singkat.

Ini ekoran penyusutan ketara nilai ringgit berbanding beberapa mata wang asing, termasuk dolar AS, pound British, mata wang utama Eropah seperti Deutschemark, serta yen Jepun dan dolar Australia -- destinasi yang menjadi tumpuan pelajar Malaysia bagi melanjutkan pengajian di luar negara.

 

Peniaga Jalanan, Pekerja Gig Perlu Faham Aliran Fungsi Wang

 

Wartawan penyiaran veteran dan Penerbit Hal Ehwal Semasa Bahasa Inggeris Bernama TV Gerard Ratnam berkata pernah suatu ketika berita perniagaan hanya tertumpu kepada bilik lembaga pengarah sahaja.

“Tetapi hari ini, peniaga jalanan atau pekerja gig perlu memahami cara aliran wang berfungsi kerana perkara itu memberi kesan kepada kita semua.

“Ambil perkataan tarif sebagai contoh, yang kini menjadi topik perbualan di kedai kopi. Menarik untuk mendengar orang biasa bercakap mengenainya -- dan itulah sebabnya pelaporan berita perniagaan kini lebih penting berbanding sebelum ini, kerana pada hari ini semua orang perlu mengetahuinya,” katanya.

Baru-baru ini, sesiapa sahaja boleh meneka perkataan yang paling banyak ditulis dan dipetik dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan sidang kemuncak berkaitan, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China, termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN pada Mei yang dipengerusikan oleh Malaysia, sudah pastinya ialah tarif.

Kelebihan yang dimiliki oleh wartawan pada masa kini berbanding rakan sejawat mereka semasa Krisis Kewangan Asia 1998 adalah ketersediaan maklumat yang meluas di Internet, yang berfungsi sebagai bahan latar belakang yang penting.

 

Aplikasi Transkripsi dan Chatbot AI: Alat Moden Wartawan Masa Kini

 

Kemajuan teknologi seperti mel elektronik atau e-mel, perkhidmatan media sosial WhatsApp pada telefon mudah alih mereka, aplikasi transkripsi yang membolehkan rakaman audio dalam jumlah besar ditukar kepada teks bertulis dalam beberapa minit sahaja, sangat berguna untuk memudahkan penyebaran berita dengan cepat pada masa sebenar.

Lebih berguna ialah kewujudan chatbot kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT yang mampu menulis laporan berita untuk wartawan dalam masa beberapa saat, walaupun ramai wartawan veteran mungkin berhujah bahawa teknologi itu boleh membunuh kreativiti kewartawanan dan lebih teruk lagi, menyerupai amalan plagiat -- sesuatu yang dianggap pantang larang dalam dunia kewartawanan.

Bagaimanapun, semua itu adalah topik untuk perdebatan kemudian, dan tidak dapat dinafikan kini adalah era baharu kewartawanan, terima kasih kepada teknologi dan AI.

Kini, yang paling penting bagi wartawan sama ada yang berpengalaman atau yang baru bermula, adalah memperlengkap diri mereka dengan pengetahuan bagi memahami berita perniagaan dan ekonomi, ketegangan perdagangan, perjanjian perdagangan bebas dan levi import.

Apabila lebih memahami perkara yang sedang berlaku di dunia akibat pengenaan tarif, kalangan wartawan boleh menulis laporan mereka dalam gaya yang paling ringkas, jelas dan mudah difahami bagi isu yang kompleks.

Dalam proses ini, mereka perlu “mematuhi ungkapan kerap di bilik berita” -- suri rumah sekalipun perlu memahami isu paling rumit yang menjejaskan ekonomi ini.

Ketika kalangan pengamal media meraikan HAWANA 2025, wartawan baharu dan para penuntut yang berazam untuk menceburi dunia kewartawanan sebagai kerjaya mungkin tertanya-tanya cara seseorng boleh menjadi pakar dalam pelaporan berita ekonomi dan perniagaan.

Kaedahnya serupa dengan disiplin kewartawanan lain, yang termasuk meningkatkan pengetahuan melalui pembacaan yang berterusan dan meluas, membuat kenalan, menulis sebanyak mungkin dan sekerap mungkin dan paling utama mempunyai keghairahan mendalam terhadap dunia kewartawanan dengan menjadikannya sebagai satu panggilan jiwa.

-- BERNAMA