BERITA TERKINI   Mahkamah Tinggi menjatuhi Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hukuman penjara berjumlah 15 tahun dan denda RM11.4 bilion bagi empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion berkaitan 1MDB | Terengganu kembali dilanda banjir, tiga PPS dibuka petang ini - APM Terengganu | Dana 1MDB: Najib didapati bersalah atas semua 21 tuduhan pengubahan wang haram - Mahkamah Tinggi | Dana 1MDB: Najib didapati bersalah atas tuduhan keempat guna kedudukan peroleh suapan - Mahkamah Tinggi | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tidak Berubah Susulan Prestasi Eksport Yang Kukuh

Oleh K Naveen Prabu and Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) ditutup mendatar hari ini di tengah-tengah kebimbangan berterusan terhadap peningkatan tahap pengeluaran dan inventori.

Menurut laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Malaysia mengeluarkan sebanyak 1.77 juta tan MSM pada Mei, meningkat 5.1 peratus daripada 1.69 juta tan pada bulan sebelumnya.

Peniaga minyak sawit, David Ng berkata prestasi eksport yang kukuh baru-baru ini dijangka menyokong harga dalam tempoh terdekat.

“Kami melihat paras sokongan pada RM3,800 setan dan paras rintangan pada RM4,000,” katanya kepada Bernama.

Ketika ditutup, kontrak semerta bulan Jun dan Julai 2025 masing-masing meningkat RM1 kepada RM3,847 dan RM3,843 setan, manakala Ogos 2025 kekal tidak berubah pada RM3,839 setan.

Kontrak September 2025 susut RM3 kepada RM3,836 setan, Oktober 2025 merosot RM4 kepada RM3,836 setan dan November 2025 turun RM4 kepada RM3,842 setan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 55,636 lot daripada 54,747 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 242,900 kontrak daripada 180,901 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan meningkat RM10 kepada RM3,900 setan.

-- BERNAMA